Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 Menjana Pelbagai Manfaat Untuk Rakyat Dan Negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM), menerusi Pertubuhan  Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menganjurkan Pelancaran Skim Keselamatan  Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 untuk membawa skim  perlindungan suri rumah ini lebih dekat dengan Rakyat Malaysia dan mengadakan temu  duga terbuka berserta pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan dalam skala yang besar. 

Program yang akan diadakan pada 11 dan 12 Februari di Pusat Konvensyen Kuala  Lumpur, dijangka dikunjungi oleh lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negara, di samping  para pengunjung dari kalangan suri rumah dan wanita amnya, dan badan-badan NGO  berkaitan, juga Rakyat Malaysia keseluruhannya. 

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijadual  menyempurnakan Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya  MYFutureJobs 2023 ini pada hari Sabtu, 11 Februari 2023. KSM dan PERKESO mengalu alukan kehadiran Perdana Menteri yang menterjemahkan sokongan Kerajaan terhadap  usaha membangunkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan inklusif di  Malaysia. 

Sepanjang dua hari tersebut, orang ramai boleh berinteraksi secara terus dengan  PERKESO bagi memahami SKSSR dan manfaatnya dengan lebih mendalam, di samping  mendapatkan khidmat nasihat serta membuat pendaftaran SKSSR di booth yang disediakan. Para suami dan pihak ketiga seperti badan-badan NGO atau syarikat swasta  juga digalakkan menaja caruman bagi pihak suri rumah. 

Mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022, SKSSR menawarkan faedah-faedah di bawah  Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan,  Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen  Penakat. Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta  838) ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemaustatin tetap yang berusia kurang  55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin  ataupun bujang. 

Sementara itu, Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 merupakan karnival berskala besar yang pertama bagi tahun ini dianjurkan PERKESO sebagai suatu inisiatif untuk  meningkatkan peluang rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti, seterusnya mengurangkan  kadar pengangguran di samping memperkasa pasaran buruh. 

Karnival dua hari ini menawarkan lebih 13,000 peluang pekerjaan termasuk kira-kira 20  peratus daripadanya terbuka kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada 140 syarikat merentas pelbagai sektor dan industri. Dibuka dari 9.00 pagi hingga 5.00  petang, Karnival ini bakal menyaksikan penglibatan majikan besar seperti Maybank, BSN,  EXIM Bank, KTM Malaysia, ExxonMobil, UMW, UOA Group dan Avisena Healthcare 

Pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang disediakan secara percuma akan turut  diadakan sepanjang Karnival ini seperti penyediaan resume, pendaftaran portal  MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya. Pelbagai hadiah cabutan bertuah yang  menarik juga menanti para pengunjung sepanjang karnival berlangsung. 

Penganjuran Karnival ini merupakan salah satu usaha berterusan KSM melalui PERKESO  untuk mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada semua lapisan masyarakat  termasuk golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU). Ia juga menyokong usaha  dan komitmen Kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan ekonomi semasa dan pasca-pandemik COVID-19, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan atau  menganggur.

Sehubungan itu, PERKESO menyeru semua suri rumah dan pencari kerja di seluruh negara  memanfaatkan peluang ini dengan berkunjung ke Pelancaran Skim Keselamatan Sosial  Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 pada hujung minggu ini. Bagi pencari  kerja, PERKESO menggalakkan mereka mendaftar di pautan  www.myfuturejobs.gov.my/career sebelum hadir ke Karnival Kerjaya. 

Bagi para majikan yang berminat untuk turut serta dalam mana-mana karnival kerjaya  anjuran PERKESO, mereka boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan  PERKESO. Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO di  www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO di talian 1-300- 22-8000

 

The post Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 Menjana Pelbagai Manfaat Untuk Rakyat Dan Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*