Pelantikan CEO KWSP Baharu Akan Diputuskan Segera – PM

Pelantikan CEO KWSP

Pelantikan CEO KWSP Baharu Akan Diputuskan Segera – PM

CYBERJAYA, 18 Jan (Bernama) — Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu akan diputuskan segera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada sidang media sempena program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata nama beberapa calon sudah dikemukakan namun ia perlu melalui beberapa proses untuk  lantikan baharu.

“Seperti biasa semua lantikan kita, kita lalui tapisan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Bank Negara. Itu kadang-kadang ambil masa beberapa minggu,” katanya.

Jawatan berkenaan kini kosong susulan pelantikan CEO terdahulu Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II semasa rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 12 Dis lepas.

Mengenai pelarasan tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa 1 Feb ini, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan kenaikan itu setelah mendapat permintaan dari semua negeri.

BACA: Nak Pergi Haji Tapi Guna Duit Pinjaman? Ini Jawapan Dari Sudut Hukum

“Sudah dijelaskan oleh semua pihak bahawa semua negeri minta kita menaikkan (tarif air) dalam mesyuarat dengan Menteri Besar, Ketua Menteri.

“… ada negeri yang tidak naikkan selama 40 tahun lebih… mereka mengusulkan dan Kerajaan Persekutuan setuju,” katanya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam mengumumkan pelarasan itu yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

SPAN berkata pelarasan tarif itu tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan yang dinikmati rakyat.

Sumber: BERNAMA

The post Pelantikan CEO KWSP Baharu Akan Diputuskan Segera – PM appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*