Pembaharuan Lesen Dalam Talian Mudahkan Pengguna, Tingkat Adaptasi Penggunaan Digital

Pembaharuan lesen dalam talian

Pembaharuan Lesen Dalam Talian Mudahkan Pengguna, Tingkat Adaptasi Penggunaan Digital

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) — Inisiatif kerajaan membolehkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) diperbaharu menerusi aplikasi MyJPJ berkuat kuasa 1 Feb ini memberi kemudahan kepada pengguna, sekali gus meningkatkan pengadaptasian penggunaan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata inisiatif itu membolehkan pengguna untuk memperbaharui lesen kenderaan mereka dengan pantas dan efisien.

“Tapi, golongan rentan mungkin memerlukan bantuan khas. Warga emas mungkin sukar untuk memperbaharui lesen secara dalam talian.

“Mungkin JPJ boleh beri latihan khusus atau video panduan kepada mereka tentang cara untuk memperbaharui lesen menerusi MyJPJ,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan pembaharuan LLM dan LKM boleh dilaksanakan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Feb ini, secara berfasa dengan peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu warganegara.

Pengguna yang memilih e-LMM semasa pembaharuan lesen melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ seperti Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad akan menikmati rebat sebanyak RM5 bermula 1 Feb hingga 31 Dis 2024.

Saravanan berharap aplikasi itu menggunakan teknologi terkini bagi memastikan kelancaran proses pembaharuan lesen.

“Jika boleh, JPJ atau kerajaan perlu melabur untuk memastikan sistem tidak hang dan masalah keserasian peranti tidak berlaku semasa proses pembaharuan lesen. Sekiranya boleh, pastikan semua sistem sentiasa dikemas kini mengikut standard antarabangsa,” katanya.

Petugas swasta Muhamad Hidayat Abd Majid, 34, pula berpandangan inisiatif itu lebih efektif kerana mampu menjimatkan kos, masa dan tenaga pengguna.

“Dengan kes penularan COVID-19 yang tidak menentu sekarang, sudah pasti transisi ini memberi makna besar kepada rakyat bukan sahaja soal penjimatan kos, bahkan kesejahteraan masyarakat umum,” katanya.

BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu

Mahasiswa jurusan kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Anis Ilyana Abdullah, 22, berkata pengumuman Loke itu dilihat mampu meningkatkan tahap pengadaptasian rakyat terhadap penggunaan teknologi dan digital dalam urusan harian.

Katanya, dengan pelbagai kemudahan dan insentif yang ditawarkan kerajaan secara dalam talian seperti pembaharuan lesen menerusi MyJPJ dan pemberian RM100 melalui e-dompet baru-baru ini, pendekatan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada rakyat untuk meneroka penggunaan aplikasi moden.

“Bahkan, ibu saya sendiri baru sahaja belajar menggunakan Touch N Go e-wallet sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bantuan RM100 dalam aplikasi e-dompet. Ibu sebelum ini cukup skeptikal untuk menggunakan aplikasi itu kerana takut penipuan dan sebagainya,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Pembaharuan Lesen Dalam Talian Mudahkan Pengguna, Tingkat Adaptasi Penggunaan Digital appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*