Pendidikan Bahaya Rasuah, Salah Guna Kuasa Perlu Dipertingkat – Azam Baki

rasuah azam baki

Pendidikan Bahaya Rasuah, Salah Guna Kuasa Perlu Dipertingkat – Azam Baki

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) — Pendidikan mengenai bahaya rasuah dan salah guna kuasa perlu dipertingkatkan bagi mengembalikan semula kegemilangan Malaysia di mata dunia, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Berucap melancarkan Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar) di sini hari ini, beliau berkata SPRM akan bekerjasama dengan Pakar bagi melaksanakan usaha pendidikan untuk mengekang dan mengurangkan masalah rasuah di negara ini.

“Mereka yang ada dalam (Pakar) ada kepakaran dalam bidang khusus, yang boleh disumbangkan kepada negara,” katanya.

Ahli Pakar terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang memegang jawatan Presiden dan beberapa lagi pegawai SPRM.

Antara matlamat penubuhan Pakar ialah menyampaikan maklumat anti rasuah secara berterusan, kepada setiap lapisan masyarakat selain menjadi platform dan pentas masyarakat, dalam usaha menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Sementara itu, Shamshun Baharin berkata Pakar akan membantu menyebarluaskan bahaya rasuah serta menyokong segala usaha SPRM, dalam mengekang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia.

“Kita akan bantu pegawai SPRM beri pendidikan tentang bahaya rasuah, kerana kita tahu bilangan anggota SPRM untuk melaksanakan aktiviti pencegahan tidak besar,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Azam Baki Sahkan Muhyiddin Akan Didakwa Pada Esok

The post Pendidikan Bahaya Rasuah, Salah Guna Kuasa Perlu Dipertingkat – Azam Baki appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*