Pengiktirafan Mek Mulung Di Bawah Kategori List Of Intagible Cultural Heritage In Need Of Urgent Safeguarding UNESCO 2023

Pengiktirafan Mek Mulung

5 Disember 2023 – Malaysia pada hari ini telah melakar sejarah  apabila Mek Mulung, sebuah teater tradisi warisan Kedah Tua telah  berjaya disenaraikan di bawah kategori List of Intangible Cultural  Heritage in Need of Urgent Safeguarding semasa 18th Session of the  Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible  Cultural Heritage (IGC ICH). Sesi ini telah berlangsung pada 4-9  Disember 2023 di Kasane, Republik Botswana. 

Pada sesi kali ini, sebanyak 45 Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dari  seluruh dunia telah diinskripsi menjadikan jumlah keseluruhan 612  Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di bawah kategori  Representative List. Manakala, hanya enam (6) Warisan  Kebudayaan Tidak Ketara dari seluruh dunia diiktiraf bawah kategori  in Need of Urgent Safeguarding termasuklah Mek Mulung,  menjadikan jumlah keseluruhan 82 Warisan Kebudayaan Tidak  Ketara diinskripsi bawah kategori ini. 

Keputusan pencalonan Mek Mulung telah diumumkan pada jam  4.40 petang bersamaan dengan jam 10.40 malam waktu Malaysia. Penyenaraian yang cukup berprestij ini telah diputuskan oleh  Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible  Cultural Heritage UNESCO yang dianggotai oleh 24 Negara Anggota 2003 Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural  Heritage yang dipengerusikan oleh wakil negara Republik Botswana. 

Pengiktirafan Mek Mulung

Delegasi Malaysia yang terdiri daripada pegawai-pegawai MOTAC,  JWN, Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO dan pakar rujuk warisan  kebudayaan tidak ketara, telah diketuai oleh YBrs. Dr. Christina Yeo,  Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan,  MOTAC.  

Mek Mulung merupakan salah satu seni persembahan tertua di  Kedah yang telah diwarisi turun-temurun sejak tamadun awal Kedah.  Sebagai tradisi yang berakar umbi di desa Wang Tepus, Kedah, sejak  lebih enam generasi, YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman,  Ketua Setiausaha MOTAC juga menegaskan adalah penting untuk  meningkatkan kesedaran dan meraikan seni warisan ini. Dari  permulaannya yang sederhana sebagai sebuah teater rakyat, Mek  Mulung kini akan dikenali ke seluruh dunia. 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui  Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mencalonkan Mek Mulung  kepada pihak sekretariat UNESCO pada 31 Mac 2022. 

YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  amat berbangga serta berbesar hati apabila kesenian tradisi Mek  Mulung, salah satu seni persembahan Malaysia yang paling bernilai  telah dimasukkan ke dalam Senarai UNESCO Warisan Budaya Tidak  Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera. Beliau merakamkan  ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa IGC ICH bersempana  pengiktirafan yang diberikan kepada seni persembahan tradisional  Mek Mulung ini. Malah, Malaysia masih terdapat banyak  persembahan seperti Mek Mulung, Mak Yong dan sebagainya yang  bernilai untuk disenaraikan ke dalam Senarai UNESCO Warisan  Budaya Tidak Ketara. Malaysia komited untuk terus menjaga tradisi  kita untuk generasi akan datang selaras dengan Konvensyen 2003  Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara. 

Malaysia merupakan ahli IGC ICH bagi tempoh 2022-2026.  Bersempena dengan IGC ICH ini juga, MOTAC telah membawa  kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa, gabungan penggiat seni  dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Persatuan  Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB Kedah) dan  Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus untuk menyampaikan  persembahan dalam acara sampingan.  

IGC ICH kali ini juga bakal menyaksikan kejayaan tiga Pertubuhan  Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia telah disenaraikan bawah  NGO Bertauliah (Accredited NGO) UNESCO iaitu Pusat Budaya  Pusaka Sdn. Bhd. (PUSAKA), Pertubuhan Kraf Malaysia (Malaysian  Craft Council) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).  Dengan pengiktirafan ini, NGO ini berperanan dalam membantu  Malaysia meningkatkan visibiliti Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di  peringkat nasional dan antarabangsa. 

Selain dapat mengetengahkan Mek Mulung di peringkat dunia,  pengiktirafan ini juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam  melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Negara ini, sejajar  dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu  memfokuskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan  warisan budaya. 

Pengiktirafan Mek Mulung

Pengiktirafan pada kali ini telah menjadikan jumlah Warisan  Kebudayaan Tidak Ketara negara yang diiktiraf di peringkat UNESCO  bertambah kepada tujuh (7). Terdahulu, Warisan Kebudayaan Tidak  Ketara Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO ialah  Mak Yong (2005 dan 2008), Dondang Sayang (2018), Silat (2019),  Upacara Wangkang bersama negara China (2020) dan Pantun  bersama negara Indonesia (2020), Songket (2021). 

Pengiktirafan UNESCO ini bakal meningkatkan lagi kesedaran  terhadap kepentingan melindungi kelestarian seni dan warisan turun 

temurun tanpa mengira umur dan bangsa. Pengiktirafan ini juga  akan memberikan galakan serta motivasi kepada golongan  generasi muda termasuk pengamal seni dan warisan untuk  berkecimpung dalam seni persembahan Mek Mulung dan  seterusnya akan memangkin aktiviti kajian, pembangunan,  pemeliharaan dan pemuliharaan Mek Mulung.

The post Pengiktirafan Mek Mulung Di Bawah Kategori List Of Intagible Cultural Heritage In Need Of Urgent Safeguarding UNESCO 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*