Perodua Keluarkan Kereta Elektrik Mampu Milik Hujung Tahun 2025

perodua kereta elektrik

Perodua Keluarkan Kereta Elektrik Mampu Milik Hujung Tahun 2025

KUALA LUMPUR — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dijangka bakal mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) mampu milik pada hujung tahun 2025.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, projek di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) ini selaras dengan pelantikan Perodua untuk menerajui pengeluaran kenderaan elektrik mampu milik.

perodua ev mampu milik
Gambar: Tengku Zafrul

“Projek kenderaan elektrik Perodua selaras dengan pelantikan syarikat Perodua untuk menerajui pengeluaran EV mampu milik di bawah NIMP2030.

“Perodua telah bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa untuk menghasilkan prototaip EV berkenaan.

“Pengeluaran secara besar-besaran oleh Perodua dijadualkan pada hujung tahun 2025.

“Terima kasih syarikat Perodua kerana membantu Malaysia dalam memajukan teknologi kenderaan elektrik dan memperkukuhkan mobiliti mampan Malaysia,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

BACA: Ekor Harimau Malaya Gamatkan Suasana Di Qatar Dengan Paluan Kompang

Pada November lalu, syarikat pengeluar kenderaan itu menyasarkan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid jenamanya menyumbang sehingga 20 peratus daripada jualan keseluruhan kereta baharu menjelang 2030, lapor Bernama.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad  jika semua pemain industri boleh bekerjasama, jumlah itu mampu dicapai.

“Kami bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi yang lain. Kami juga telah dilantik dalam pelan perindustrian baharu untuk menerajui pembangunan EV di Malaysia.

“Kita perlu menghasilkan produk baharu. Kita belum memuktamadkan masa pengeluarannya, tetapi sasaran yang diberikan oleh kerajaan – 20 peratus menjelang 2025 atau 2030 akan menjadi kenyataan jika semua pihak memberi kerjasama,” katanya.

BACA JUGA: Beri “Rating” Rendah Kepada Penjual, Dr Zulkifli Jelaskan Hukumnya

Tambahnya, keseluruhan ekosistem EV melibatkan pelaburan yang besar dan berharap syarikat-syarikat lain akan dapat membantu mencapai sasaran kerajaan, termasuk membina 10,000 stesen pengecasan di seluruh negara.

Tengku Zafrul pula sebelum ini berkata kerajaan sedang bersungguh-sungguh membina infrastruktur yang diperlukan.

Ia sebagai sebahagian daripada sasarannya untuk menjadikan EV dan hibrid menyumbang 20 peratus daripada jualan kereta baharu menjelang 2030; 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

Sumber: Facebook Tengku Zafrul

The post Perodua Keluarkan Kereta Elektrik Mampu Milik Hujung Tahun 2025 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*