Polis Sahkan Ada Tahanan Lolos Di Lokap IPD Dang Wangi

Tahanan lolos ipd dang wangi

Polis Sahkan Ada Tahanan Lolos Di Lokap IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Polis mengesahkan seorang tahanan telah meloloskan diri dari lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, semalam.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika kejadian, pihak polis dalam proses membawanya ke mahkamah untuk proses pertuduhan.

Beliau berkata kejadian berkenaan berlaku pada pukul 9.40 pagi dan polis telah melancarkan Op Cari bagi mengesan tahanan berkenaan.

“Dalam 1.50 tengah hari (hari yang sama), kami dapat mengesan dan menahan semula tahanan berkenaan (dan bawanya semula ke balai),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata polis juga telah membuka kertas siasatan terhadap enam anggota polis yang sedang bertugas ketika kejadian dan tindakan susulan akan diambil ke atas mereka.

BACA JUGA: Polis Buru Dua Tahanan Indonesia Yang Lolos Ketika Dalam Perjalanan Ke Penjara

Mohd Shuhaily berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada timbul kelalaian daripada anggota bertugas atau suspek berkenaan mempunyai kepakaran tersendiri dalam meloloskan diri.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur mencatatkan lebih 26,000 saman dikeluarkan setakat Ahad lepas.

Beliau berkata kesalahan halangan lalu lintas direkodkan paling tinggi dengan 18,931 saman diikuti lain-lain kesalahan (3,217) dan kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki sebanyak 1,931 saman.

Menurutnya, sebanyak 86 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah dan trafik serta sebanyak 99 kenderaan telah disita.

“Yang menjadi kebimbangan saya ketika ini ialah kehadiran warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen. Ada dokumen tapi tiada lesen,” katanya.

Mengulas mengenai pemilikan motosikal, Mohd Shuhaily berkata rata-rata mereka menyewa daripada warga tempatan dan diberi oleh majikan.

Beliau berkata, operasi itu mendapat respons yang positif dan kebanyakan pengguna jalan raya di ibu negara memohon agar operasi ini dipanjangkan berbanding tempohnya hanya sebulan.

Sumber: BERNAMA

The post Polis Sahkan Ada Tahanan Lolos Di Lokap IPD Dang Wangi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*