PR1MA Komited Bina Komuniti & Perumahan Mampan Untuk Rakyat Di Sarawak & Seluruh Negara

KUCHING, 6 NOVEMBER – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), agensi perumahan utama di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), komited membina komuniti dan perumahan yang mampan untuk rakyat di Negeri Sarawak dan seluruh negara, dalam usaha merealisasikan aspirasi Kementerian tersebut.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming, telah melawat Residensi Bintawa Riverfront, Kuching yang dibangunkan oleh PR1MA di Sarawak, sebagai sebahagian daripada kunjungan beliau ke Malaysia Urban Forum 2023 (MUF2023) anjuran Urbanice Malaysia, sebuah agensi di bawah KPKT yang berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan Bandar Mampan dan Kesejahteraan Komuniti.

Lawatan YB Tuan Nga Kor Ming adalah untuk memperlihatkan penerapan elemen kelestarian dan kemampanan di projek-projek perumahan yang dibangunkan oleh PR1MA, khasnya di bandaraya Kuching.

Residensi Bintawa Riverfront yang dibina oleh kontraktor lantikan PR1MA iaitu Hong Seng Construction (E.M.) Sdn Bhd telah memenangi pelbagai anugerah, termasuk The Government-Assisted Homes Award – Best National Homeownership Initiative – Borneo oleh The StarProperty Awards 2023 dan Best Value Waterfront High-Rise Development oleh PropertyGuru Asia Awards Malaysia ke-9.

Ketika lawatannya, YB Tuan Nga Kor Ming juga telah melancarkan sebuah Kebun Komuniti di Residensi tersebut. Kebun Komuniti ini berkonsepkan pertanian bandar yang membolehkan ahli komuniti bercucuk tanam dan menjaga kebun bagi manfaat bersama. Program Aspirasi #PR1MAKita ini adalah di bawah teras Suasana (Inisiatif Tindakan Iklim) sejajar dengan matlamat Environmental, Social & Governance (ESG).

Selain Suasana, bagi mewujudkan komuniti yang berdaya huni dan sejahtera, program-program komuniti PR1MA juga berpandukan kepada empat teras lain iaitu Sihat (Inisiatif Kesejahteraan Komuniti), Saku (Inisiatif Sosioekonomi), Sayang (Inisiatif Pembangunan Sosial), dan Selamat (Inisiatif Keselamatan Awam).

Sebanyak 3,238 unit perumahan PR1MA telah siap dibina di Sarawak, manakala 702 unit masih dalam peringkat perancangan. Dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,940 unit, pembangunan ini merupakan langkah penting dalam menyokong keperluan perumahan masyarakat setempat khususnya bagi rakyat Sarawak.

PR1MA berada di Kuching, Sarawak sebagai Rakan Utama Malaysia Urban Forum 2023 (MUF2023) anjuran Urbanice Malaysia yang berlangsung dari 4 hingga 8 November 2023 bertempat di Hikmah Exchange Event Centre Kuching dan Pustaka Negeri Sarawak.

Sebagai agensi-agensi di bawah KPKT, PR1MA dan Urbanice Malaysia berperanan membantu mencapai misi KPKT untuk merealisasikan kemakmuran bersama melalui perumahan yang berdaya huni justeru meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif & Anggota Perbadanan PR1MA, YBhg. Datuk Seri Haji Mohd Nazri bin Md. Shariff, “MUF2023 adalah satu platform yang baik untuk para penggiat industri perumahan berkumpul dan berkongsi kepakaran serta pengalaman, sebagai usaha untuk membangunkan industri perumahan yang lebih mampan dan berdaya tahan. Saya yakin bahawa kerjasama PR1MA bersama Urbanice Malaysia akan dapat membuahkan idea baharu serta kolaborasi strategik untuk mendorong pembangunan perumahan negara yang lestari.”

“Pembangunan projek berkualiti tinggi, serta kerjasama strategik dengan pemegang taruh seperti Urbanice Malaysia, adalah komitmen PR1MA untuk menyediakan perumahan berkualiti dan pembangunan komuniti yang sejahtera selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memacu pertumbuhan ekonomi secara mampan dan inklusif, membela hak rakyat serta mengurangkan jurang kehidupan”, tambah beliau.

Untuk sebarang maklumat mengenai PR1MA, sila layari laman web PR1MA di www.pr1ma.my atau hubungi Pusat Panggilan PR1MA di 03-7628 9898 (tutup pada hari umum di Negeri Selangor) atau emel kepada info@pr1ma.my.

The post PR1MA Komited Bina Komuniti & Perumahan Mampan Untuk Rakyat Di Sarawak & Seluruh Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*