Program Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 Pemangkin Usaha Melindungi Suri Rumah Dan Penempatan Pekerjaan

KUALA LUMPUR – Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs PERKESO 2023 yang berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad baru-baru ini memberi lonjakan kepada usaha PERKESO tahun ini untuk melindungi golongan suri rumah dan membantu rakyat tempatan mendapat pekerjaan. Program serampang dua mata yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Februari 2023 ini, mendapat sambutan baik dari orang ramai terutamanya pencari kerja dan suri rumah. 

Sepanjang dua hari tersebut, hampir 300 orang pengunjung wanita telahpun mendaftar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan telahpun mendaftar dengan skim tersebut. Daripada jumlah yang mendaftar ini, 162 orang telah mencarum dengan Skim ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan suri rumah yang mendaftar di bawah SKSSR sejak 1 Disember 2022 sehingga 14 Februari 2023 adalah 141,777 orang. Kesedaran para suami untuk mencarum adalah menggalakkan apabila daripada jumlah suri rumah yang mendaftar dan mencarum dengan SKSSR sewaktu program tersebut, 14.8 peratus adalah suri rumah yang caruman dibayar oleh suami masing-masing. 

Ini selari dengan seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan para suami mencarum SKSSR untuk isteri mereka. Dalam ucapan perasmiannya pada hari Sabtu, Perdana Menteri juga menggesa kesatuan sekerja dan para majikan agar bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menghebahkan SKSSR ini demi perlindungan kepada golongan suri rumah yang menjadi tonggak kepada keluarga, di samping suami dan bapa.

Perdana Menteri juga menzahirkan sokongan beliau terhadap penganjuran Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 yang dilihatnya sebagai medium yang menghubungkan majikan dan pencari kerja di bawah satu bumbung. 

“Harapan saya pada satu hari nanti, semua majikan akan berdaftar dengan MYFutureJobs dan menawarkan pekerjaan kepada semua graduan serta golongan lepasan sekolah tempatan yang sedang mencari pekerjaan,”ujar beliau. 

Karnival Kerjaya yang berskala besar ini telah menarik lebih 5,200 orang pencari kerja menghadiri temu duga terbuka untuk pelbagai jenis jawatan kosong yang merentas sektor dan industri. Sejumlah 21,510 peluang pekerjaan telah ditawarkan oleh 148 majikan khusus buat pencari kerja di seluruh Malaysia. Penganjuran karnival ini juga mendapat sokongan kuat daripada majikan-majikan utama negara seperti Maybank, BSN, EXIM Bank, KTM Malaysia, ExxonMobil Malaysia, UMW, UOA Group dan JAKEL Group. 

Seramai 256 individu termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) telah berjaya ditawarkan pekerjaan sewaktu karnival berlangsung, sementara 3,751 (76%) individu pula berjaya melangkah ke temu duga peringkat kedua. Calon-calon yang menghadiri temu duga terbuka di karnival ini turut menerima bimbingan dan sokongan dari Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO seperti penyediaan resume, nasihat kerjaya dan sebagainya. Majikan yang mencatatkan pengambilan pekerja tertinggi di karnival ini termasuk Kiddocare Sdn Bhd, Daythree Business Services Sdn Bhd dan Pizza Hut Restaurants Sdn Bhd. 

Menurut Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar, seiring dengan usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, PERKESO juga akan menganjurkan lebih 40 Karnival Kerjaya peringkat negeri dan hampir 3,000 program temuduga terbuka di pejabat-pejabat PERKESO, Pusat-pusat Satelit MYFutureJobs dan premis kolej serta universiti di seluruh negara di sepanjang tahun 2023 ini. Pada masa yang sama beliau turut menggesa majikan yang memerlukan pekerja atau bakat tempatan untuk mengiklankan jawatan kosong di www.myfuturejobs.gov.my serta mendapat perkhidmatan perkerjaan (recruitment services) dibawah MYFutureJobs.

Dalam masa terdekat, akan diadakan Karnival Kerjaya MYFutureJobs & Skim Keselamatan Suri Rumah di Batu Gajah,Perak pada 25 & 26 Febuari 2023 dan boleh berdaftar melalui pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair manakala di Sabah, Program Jerayawara Kerjaya dan Skim Keselamatan Suri Rumah akan di adakan di Keningau Sabah pada 18 Febuari 2023, 19 Febuari 2023 di Tawau, 20 Febuari di Semporna, 21hb di Sandakan, 25 Febuari di ILP Sepangjar, Kota Kinabalu, Sabah. Bagi pencari kerja di sekitar Sabah yang berminat untuk menghadiri Jerawayawara ini boleh berdafar di pautan https://bit.ly/PraJerayawaraSuri

Bagi para majikan yang berminat untuk turut serta dalam mana-mana karnival kerjaya anjuran PERKESO, mereka boleh hubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO di talian 03 – 8091 5300. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO di 1-300-22-8000. 

The post Program Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 Pemangkin Usaha Melindungi Suri Rumah Dan Penempatan Pekerjaan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*