Projek Reben Kuning Beri Sinar Untuk Banduan, Penghuni Henry Gurney

Kuala Lumpur, 29 November – Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Projek Reben Kuning 2023 bertempat di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka hari ini.

Projek Reben Kuning merupakan sebuah inisiatif intervensi sosial oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.

Projek ini bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada banduan belia dari Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) dan penghuni Sekolah Henry Gurney menerusi program-program latihan pembangunan kemahiran.

Projek yang mula dijalankan pada tahun 2018 ini, mempunyai objektif seperti menyediakan program pembangunan kemahiran bagi membantu peserta mendapat pekerjaan dan kemudiannya menjalankan kehidupan yang lebih baik setelah tamat tempoh tahanan.

Selain itu, projek ini juga memperkukuh jalinan kerjasama rentas agensi Kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif intervensi sosial belia di samping membina persepsi positif masyarakat terhadap banduan belia dari PRP dan penghuni Sekolah Henry Gurney seterusnya membantu mereka untuk membina kehidupan lebih baik.

Pengisian utama di bawah projek ini adalah pelaksanaan program latihan kemahiran selama lima (5) hari kepada peserta/ pelatih yang dipilih oleh Jabatan Penjara Malaysia. Peserta/ pelatih terdiri daripada 100 orang banduan belia dari PRP dan penghuni Sekolah Henry Gurney yang berumur antara 15 hingga 40 tahun.

Projek Reben Kuning menawarkan sepuluh (10) kursus kemahiran yang dikendalikan oleh tenaga pengajar bertauliah dari ILKBS terpilih bermula 7 Oktober hingga 10 November 2023.

Pelaksanaan projek ini diharapkan menjadi platform perubahan terbaik untuk peserta/ pelatih seterusnya memperkukuh ekosistem pembangunan belia selari dengan hasrat yang terkandung di bawah Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030) dan kerangka Malaysia MADANI.

Sekiranya terdapat pertanyaan atau memerlukan maklumat lanjut berhubung projek ini, sila hubungi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di talian 03-8871 3263 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my

The post Projek Reben Kuning Beri Sinar Untuk Banduan, Penghuni Henry Gurney appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*