PTPTN Anjur Hari Mesra Pelanggan, Beri Sumbangan Buat Pelajar Istimewa

Selasa, 9 Mei – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menganjurkan Majlis Mesra Pelanggan 2023 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Lembaga Pengurusan PTPTN serta Pengurusan Tertinggi KPT dan PTPTN.

Acara turut dihadiri perwakilan kementerian, agensi kerajaan dan swasta serta rakan-rakan strategik yang lain bagi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan padu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan PTPTN.

“PTPTN sebagai agensi yang memperkasa agenda pendidikan tinggi negara, sentiasa cakna dan prihatin dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat,” tulis badan itu dalam satu kenyataan semalam.

Mohammad Yusof Apdal (belakang, empat dari kiri) dan Ahmad Dasuki Abdul Majid (belakang, tiga dari kiri) menyantuni dan menyampaikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada pelajar istimewa di Royale Chulan Kuala Lumpur.

Dalam acara tersebut, PTPTN telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada 20 pelajar istimewa daripada Universiti Islam Antarbangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM) sebagai salah satu bentuk kerjasama strategik antara pihak terlibat.

Sumbangan itu telah diserahkan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 10 orang pelajar bagi setiap universiti berkenaan.

“UIAM dan UM telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PTPTN dan sumbangan ini merupakan salah satu bentuk kerjasama strategik, tanda keprihatinan PTPTN dalam aspek pendidikan.”

PTPTN mengalu-alukan semua pihak untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang lebih bersepadu bersama PTPTN bagi kepentingan negara dengan menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk pemberian sumbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara sekali gus membantu meningkatkan kesedaran budaya menabung bagi tujuan pendidikan tinggi, tulis kenyataan tersebut.

Budayakan menabung

Dalam pada itu, PTPTN berhasrat mengubah minda masyarakat daripada bergantung kepada pinjaman kepada membudayakan amalan menabung untuk pendidikan anak-anak supaya mereka tidak dibelenggu hutang setelah tamat pengajian.

“Simpan SSPN merupakan produk simpanan pendidikan yang menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia. Antara kelebihan produk ini ialah kadar dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih hingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, perlindungan takaful secara percuma dan simpanan dijamin Kerajaan serta patuh syariah.”

Sementara itu, sebanyak RM50,000 telah diperuntukkan untuk 23 pemenang Kempen Cabutan WOW! Syoknya Raya yang bakal terdiri daripada kumpulan pendeposit Simpan SSPN bermula 1 Mac sehingga 31 Mei 2023 ini.

Pembukaan akaun dan penambahan simpanan boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN dengan mudah, cepat dan selamat.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

The post PTPTN Anjur Hari Mesra Pelanggan, Beri Sumbangan Buat Pelajar Istimewa appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*