Ramai doktor muda enggan bekerja di Britain, berhijrah ke luar negara

LONDON: Tinjaun terbaharu Persatuan Perubatan Britain (BMA) mendapati empat daripada 10 doktor muda merancang untuk berhenti daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebaik sahaja mereka dapat mencari pekerjaan lain.

Menurut The Guardian, tinjauan yang dikeluarkan dalam perutusan tahun baharu Pengerusi BMA, Profesor Philip Banfield itu mendapati, gaji yang rendah dan bebanan kerja adalah antara sebab utama doktor muda mahu meninggalkan kerjaya itu.

Satu pertiga daripada mereka yang ingin berhenti dari NHS merancang untuk bekerja di luar negara dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan Australia menjadi destinasi pilihan utama.

Banfield memberi amaran bahawa NHS pastinya tidak mampu berdepan kesukaran yang bakal timbul jika terdapat penghijrahan besar doktor muda tahun depan.

Mesej itu disampaikan sebelum doktor muda di England mengundi untuk mengadakan tindakan industri pada 9 Januari ini.

Mereka berdepan beberapa pemotongan gaji paling teruk berbanding mana-mana pekerja sektor awam sepanjang 15 tahun lalu, kurang hampir satu perempat daripada gaji sebenar sejak tahun 2008 lagi.

“Keadaannya teruk. Perkhidmatan kesihatan tidak akan dapat menampungnya. Selama beberapa dekad NHS menjadi perhatian dunia tetapi tanpa kepakaran doktor kita, negara akan bertambah sakit.

“Kami tidak akan menerima penjagaan kesihatan yang miskin untuk negara kita, atau akur kepada mereka yang ingin mengurangkan gaji dan menurunkan taraf hidup kakitangan NHS. Pada tahun 2023 kami akan berdiri bersama-sama dengan pesakit, tenaga kerja tersusun yang bersedia untuk bertindak,” katanya.

NHS menghadapi gangguan awal tahun depan dengan kesatuan perkhidmatan awam, Unison dan Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) meningkatkan kempen mogok mereka sebagai protes terhadap pemberian gaji rendah oleh kerajaan dan keengganan untuk memperbaikinya.

Tinjauan BMA terhadap doktor muda di England yang dijalankan antara November dan Disember, menerima 4,553 maklum balas.

The post Ramai doktor muda enggan bekerja di Britain, berhijrah ke luar negara appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*