Resipi Rendang Ayam Klasik

Resipi Rendang Ayam Klasik

Bila dah tiba tahun baharu ini, mesti ramai yang menantikan perayaan-perayaan yang bakal disambut, kan? Tidak lama lagi akan ada sambutan Thaipusam, kemudian sambutan Tahun Baharu Cina.

Bila tiba bulan Mac pula, kedatangan bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadan di mana semua umat Islam di seluruh dunia akan menunaikan ibadah puasa. Selepas itu, tibalah bulan Syawal untuk meraikan kemenangan setelah menahan segala nafsu ketika bulan Ramadan.

Haa, bila dah tiba hari Raya Aidilfitri, mestilah ada juadah-juadah yang dinantikan, kan? Contohnya, menu paling terkenal adalah rendang ayam, rendang daging, nasi himpit dan kuah kacang.

Sebelum tiba Syawal, mari kita belajar resipi rendang ayam klasik yang dikongsikan oleh Puan Syalfarina Razali.

Bahan-Bahan Rendang Ayam

Bahan-bahannya adalah seekor ayam bersaiz sederhana, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, empat biji bawang besar bersaiz sederhana, tujuh ulas bawang putih, seinci halia, seinci lengkuas, lima batang serai, dua inci kunyit dan cili kisar.

Selain itu, anda juga memerlukan gula Melaka asli, satu kotak santan kecil, daun kunyit, daun limau, garam, perasa tambahan, kerisik dan sekeping asam keping.

Cara-Cara Membuat

Mula-mula anda gorengkan ayam anda sehingga separuh masak dan letakkan di tepi dulu setelah ia sudah digoreng. Selepas itu, kisarkan bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai dan kunyit.

Bahan-bahan yang dikisar itu, anda tumis menggunakan lebihan minyak goreng ayam dan tumis sehingga naik bau. Kemudian, masukkan cili kisar sebanyak dua hingga tiga sudu besar ke dalam bahan tumis.

Tumis cili kisar seketika dan masukkan sedikit air. Reneh bahan-bahan sehingga pecah minyak. Setelah pecah minyak, masukkan satu sudu serbuk ketumbar, setengah sudu jintan manis dan setengah sudu jintan putih. Gaulkan bahan-bahan yang dimasukkan dan masukkan asam keping.

Seterusnya, masukkan gula Melaka asli mengikut kehendak anda. Untuk pengetahuan anda, menurut Puan Syalfarina Razali, kelebihan gula Melaka asli ini adalah memaniskan rendang serta memberikan rasa yang berlemak.

Kemudian, masukkan ayam yang telah digoreng dan gaulkan. Masukkan juga santan kotak dan satu sudu besar kerisik.

Apabila kuah sudah pekat, anda boleh masukkan garam dan perasa secukup rasa sekiranya perlu. Dah siap masak, anda boleh hidangkan rendang ayam klasik ini!

Selamat mencuba!

Sumber: Puan Syalfarina Razali

BACA JUGA: Resipi Ayam Masak Sos Tiram Ala Thailand

The post Resipi Rendang Ayam Klasik appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*