‘Rider’ ambil upah hantar dadah tersungkur

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang menyediakan perkhidmatan menghantar dadah menggunakan motosikal, ditahan polis dalam satu operasi yang dijalankan di bandar raya ini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan pada pukul 9.40 malam.

Menurut beliau, suspek masih baharu menjalankan kegiatan berkenaan iaitu tidak sampai sebulan lalu.

“Hasil pemeriksaan dibuat ke atas suspek, polis berjaya merampas dadah dipercayai jenis ganja seberat 2.15 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM5,000.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,100 dan motosikal jenis Yamaha LC yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah Raub, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek bagaimanapun negatif daripada sebarang penggunaan dadah.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai rekod jenayah bersabit kes dadah dan jenayah di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Suspek sebelum ini memberitahu pernah menghantar ganja seberat 1 kg dan menerima upah sebanyak RM200 untuk kerja itu.

“Ini merupakan kali kedua suspek diberi tugasan untuk menghantar dadah seberat 2.15 kg dadah tetapi berjaya ditahan,” ujarnya.

Raub turut memberitahu, suspek kini direman tujuh hari sehingga 15 Januari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- KOSMO! ONLINE

The post ‘Rider’ ambil upah hantar dadah tersungkur appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*