Kebakaran Jakel: Bomba ambil sampel setiap tingkat wisma, bilik simpanan langsir

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor telah mengambil sampel di semua tingkat Wisma Jakel termasuk bilik simpanan kain langsir yang musnah dalam kebakaran awal bulan ini bagi tujuan analisa untuk menentukan punca kejadian tersebut.

Pengarahnya, Datuk Norazam Khamis berkata, proses analisa bukti dan dokumen daripada pihak Jakel turut dilakukan di makmal di sini, dengan penyediaan laporan dijangka siap pada hujung bulan ini.

Katanya, tapak bangunan itu telah diserahkan semula kepada pihak Jakel setelah lokasi itu didapati selamat dan proses siasatan diselesaikan bomba, baru-baru ini.

Hamdan ( tiga kiri) dan Norazam (tiga kanan), bersama bomba ‘Sado’ selepas merasmikan laman kecergasan di Ibu Pejabat Bomba Selangor, hari ini.

“Setiap tingkat kita ‘study’ dan kaji dan beberapa sampel telah diambil dari wisma tersebut termasuk bilik simpanan dalam kebakaran kedua sebelum ini.

“Sekarang tengah analisa termasuk dokumen dan bukti-bukti telah diambil dan laporan mengenainya dijangka selesai bulan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan pingat kepada pegawai dan anggota bomba Selangor, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Pengarah JBPM, Tan Sri Hamdan Wahid, kepada 83 penerima bagi kecemerlangan pada tahun 2020.

Ketika ditanya dakwaan berhubung sama ada berlaku pengubahsuaian dan tambahan struktur bangunan Jakel tanpa kelulusan, Norazam menjelaskan beliau akan menyemak dan mendapatkan maklumat daripada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Bagi Wisma Jakel tiada sebab kita pun tidak menerima pelan perubahan bangunan. Tambahan, semua blok perniagaan (bangunan tersebut) mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF),” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bangunan itu selamat untuk digunakan semula ekoran beban kebakaran itu adalah sekejap dan hanya melibatkan fabrik.

“Struktur bangunan okay tetapi kena cari orang untuk mengukur ketahanan itu dan wisma (Jakel) itu tiada masalah,” tegasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan dua kebakaran berlaku selang sehari melibatkan Wisma Jakel setinggi tiga tingkat dan bilik simpanan langsirnya di Seksyen 7 di sini, sehingga mengakibatkan kerugian ratusan jutaan ringgit.

Perbuatan membakar dan sisa bara api antara fokus utama siasatan bomba berhubung kebakaran itu. KOSMO! ONLINE

The post Kebakaran Jakel: Bomba ambil sampel setiap tingkat wisma, bilik simpanan langsir appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*