Ringgit kukuh pada S4 2022 dirangsang perkembangan global menggalakkan, keadaan politik yang stabil

Ringgit mengakhiri suku keempat 2022 (S4 2022) dengan lebih kukuh iaitu sebanyak 5.3 peratus berbanding dolar AS, dirangsang oleh perkembangan global yang menggalakkan serta keadaan politik dalam negeri yang lebih stabil selepas pembentukan kerajaan baharu di Malaysia pada bulan November, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata prestasi ringgit juga selaras dengan mata wang serantau yang lain memandangkan jangkaan pasaran berhubung dengan kenaikan kadar faedah yang lebih kecil oleh Rizab Persekutuan AS berikutan petanda bahawa inflasi yang semakin perlahan di AS telah mengurangkan kekukuhan dolar AS.

“Sentimen pelabur global terhadap ringgit dan mata wang serantau juga meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi China dan jangkaan kesan limpahan positif ekonomi ke rantau ini.,” katanya.

Bank pusat berkata ringgit turut menjadi kukuh berbanding dengan beberapa rakan perdagangan utama dengan kadar pertukaran efektif nominal (NEER) meningkat sebanyak 0.4 peratus pada suku keempat.

“’Pada masa hadapan, BNM akan terus memantau dengan rapi keadaan kewangan global dan domestik, serta memastikan pelarasan pasaran kewangan yang teratur,” katanya.

Menyentuh mengenai keadaan pembiayaan, bank pusat itu berkata kredit kepada sektor bukan kewangan swasta ialah 4.7 peratus pada S4 2022 berbanding 5.3 peratus pada S3 2022 dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih rendah iaitu 4.7 peratus berbanding 5.7 peratus pada S3 2022.

Sementara itu, bon korporat terkumpul terus meningkat sebanyak 4.6 peratus pada S4 2022 daripada 4.0 peratus pada S3 2022, manakala pinjaman perniagaan terkumpul menambah 3.3 peratus pada S4 2022  berikutan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang terus kukuh mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman.

Ia berkata  pertumbuhan pengeluaran pinjaman mampan iaitu 12.0 peratus pada S4 2022,  terutamanya bagi pinjaman modal kerja apabila syarikat terus menggunakan kemudahan kredit sedia ada.

“Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 5.5 peratus dalam keadaan pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang lebih perlahan serta pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang mampan,” katanya.

— BERNAMA 

Baca juga : Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada US$115.2 bilion pada 31 Jan 2023

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*