RM31.04 Juta Peruntukan Disalurkan Bagi Pembangunan & Penyelenggaraan Infrastruktur Awam Di Jempol

JEMPOL, 13 Jun 2023 – YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM31.04 juta bagi pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam dalam ‘Program Sentuhan Kasih KPKT’ sewaktu lawatan kerja rasmi beliau ke Bahau, Negeri Sembilan pagi ini.

YB KM telah menghadiri Majlis Gotong Royong dan Melukis Mural sempena Program Kemampanan dan Komuniti Bandar (PKKB) di Medan Niaga Bahau 2 bagi meningkatkan kesedaran pengindahan dan pemeliharaan dalam kalangan komuniti setempat. Kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan komuniti amat diperlukan dalam usaha menggalas tanggungjawab bersama menjaga kebersihan dan keindahan khususnya tapak medan niaga.

Bersempena program tersebut, YB KM telah turun padang meninjau kemudahan asas dan infrastruktur awam di Medan Niaga Bahau 2, Medan Niaga Bahau, Pasar Awam Bahau, tapak Dataran Taman Meranti, Dewan Kampung Baru Batu Bakar dan rumah pangsa Bahau Indah.

Jumlah peruntukan yang telah diumumkan ini meliputi beberapa projek seperti berikut;
1. Membaik pulih termasuk penggantian salur, lantai, longkang “halfround”, saliran dalam
gerai dan membaiki tandas di Medan Niaga Bahau;
2. Menaik taraf termasuk kerja mengecat keseluruhan bangunan, penggantian bumbung,
jubin dan lantai serta longkang yang rosak di Pasar Awam Bahau;
3. Pembinaan dataran berbumbung di Taman Meranti;
4. Kerja-kerja pelebaran dan penurapan semula jalan, pembinaan jalan baharu, menaik
taraf longkang utama, dewan orang ramai dan gelanggang bola keranjang melibatkan
sembilan (9) buah Kampung Baru di Daerah Jempol;
5. Menaik taraf bumbung dan kerja-kerja berkaitan di Rumah Pangsa Bahau Indah; dan
6. Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Palong 6.

Dalam majlis sama, YB KM turut mengumumkan kelulusan pembinaan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Jempol, Negeri Sembilan berjumlah RM24 juta. PPR jenis teres satu tingkat ini bakal dibina di atas tanah berkeluasan 8.78 ekar sebanyak 100 unit di Kampung Dato’ Johan, Jempol, Negeri Sembilan.

Menurut YB KM, “Penyaluran peruntukan ini merupakan ‘sentuhan kasih sayang’ KPKT dalam meningkatkan kualiti fasiliti awam dan perumahan khususnya di sekitar Bahau sebagai salah satu usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi demi manfaat penduduk setempat.”

Tambah beliau, “Keseluruhan peruntukan naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur ini merupakan “performance-based budget” atau peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan.”

Turut hadir semasa lawatan kerja tersebut ialah YB Tuan Teo Kok Seong, ADUN Bahau; YBrs. Tuan Haji Suhaimi bin Ali@Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT; Dato’ Mohd Fadzli Bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan; YM Raja Norazli bin Raja Nordin, Yang Dipertua Jempol serta Pengurusan Tertinggi KPKT dan ketua jabatan peringkat negeri dan daerah. KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.

The post RM31.04 Juta Peruntukan Disalurkan Bagi Pembangunan & Penyelenggaraan Infrastruktur Awam Di Jempol appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*