RM90,000 Lesap Ditipu Beli Kereta

ditipu beli kereta

RM90,000 Lesap Ditipu Beli Kereta

KUALA LUMPUR 21 Mei (Bernama) — Seorang lelaki tempatan hanya mampu berputih mata setelah kehilangan RM90,000 dipercayai ditipu seorang ejen jualan kereta pada 12 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata lelaki berusia 36 tahun itu telah berurusan dengan suspek berkaitan jual beli kenderaan jenama Honda HRV.

Beliau berkata suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang bekerja di sebuah syarikat kenderaan terkemuka yang terletak di Jalan Damansara.

“Pada 9 Jan lepas, mangsa membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran tersebut telah diserahkan kepada pihak syarikat. Pada 29 April hingga 4 Mei lepas, pengadu telah membuat pembayaran wang secara tunai dan pindahan dalam talian ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek.

“Namun begitu, pada 11 Mei, pengadu menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan bahawa pihak mereka masih belum menerima bayaran pendahuluan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata mangsa turut dimaklumkan bahawa suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka dan pihaknya telah mengenal pasti suspek berkenaan bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa lebih terpedaya.

“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSC) di talian 997, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post RM90,000 Lesap Ditipu Beli Kereta appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*