Sambutan Hari Wilayah Persekutuan: Macam Mana Labuan Boleh Jadi Wilayah?

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan: Macam mana Labuan boleh jadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan?

Umum mengetahui negara kita terdiri daripada 14 negeri termasuk wilayah persekutuan. Menyentuh tentang wilayah persekutuan, tarikh hari ini merupakan tanggal sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada 1 Februari setiap tahun.

Antara perbezaan negeri dan wilayah ialah pentadbiran berpusat. Umumnya negeri akan ditadbir oleh kerajaan negeri masing-masing, manakala tiga wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ditadbir terus oleh kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Jadi dalam perkongsian kali ini, kita akan menjurus dan memberi fokus kepada sejarah penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada hari ini, 1 Februari 2023.

Sejarah Penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan

Mengimbas semula sejarah seperti yang ditulis dalam Wilayahku, nama Labuan diambil berdasarkan perkataan ‘labuhan’ atau ‘pelabuhan’. Malah, Labuan juga pernah digelar sebagai Pearl of Borneo atau Mutiara Borneo yang dikatakan mempunyai persamaan dengan Pulau Pinang.

Merujuk artikel Wilayahku, disebabkan itu, pihak British sangat mengagumi tempat tersebut (Labuan) kerana dianggap strategik bagi kepentingan kuasa dan pengaruh mereka (British) di Asia Tenggara.

Pada awalnya, Labuan diwujudkan sekitar abad ke-15 di bawah kedaulatan Sultan Brunei. Namun atas usaha James Brooke, Labuan dapat dipindahkan ke tangan pihak British atas Perjanjian Labuan sekitar tahun 1846 dan menjadi jajahan mahkotanya dengan James Brooke sebagai gabenor pertamanya.

Sekitar tahun 1890 hingga 1904, Labuan diletakkan di bawah British North Borneo Company yang mentadbir North Borneo (Sabah) yang berpusat di Jesselton (Kota Kinabalu) dan dijadikan wilayah naungan British (1904).

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan
Kredit: BERNAMA

Pada tahun 1941, Jepun pula menakluki Labuan dengan menggelarnya sebagai Maedashima atau Pulau Maeda sempana nama komander Jepun pertama di Borneo yang terkorban di Bintulu, Sarawak.

Bagaimanapun, British dikatakan menakluk semula Labuan pada tahun 1945 yang ditadbir oleh British Military Admi­nistration (BMA) yang turut mentadbir Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara. Pada tahun 1946, Labuan kembali diletakkan di bawah pentadbiran North Borneo (Sabah).

Selepas Sabah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 (Labuan sebahagian daripada Sabah), ibu kota Labuan sebelum ini yang dinamakan Victoria (semasa pemerintahan British) digantikan dengan dengan nama Bandar Labuan.

Pada tahun 1984, Majlis Pengisytiharan Pulau Labuan sebagai WP telah berlangsung di Labuan yang telah ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mewakili Kerajaan Persekutuan dan YAB Datuk Harris Salleh yang mewakili kerajaan Sabah.

Turut menandatangani perjanjian itu ialah YBhg. Tan Sri Hashim Aman, Ketua Setiausaha Negara dan YBhg. Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang bertindak sebagai saksi, pada ketika itu.

Tidak dilupakan juga, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sabah yang telah bersetuju menjadikan Labuan sebagai sebuah WP.

Fungsi Labuan Sebagai Wilayah Persekutuan

Gambar: Bernama

Melihat kepada pembangunan yang dicapai oleh WP Labuan pada masa kini jelas terbukti fungsinya sebagai pusat kewangan luar persisiran antarabangsa, pulau pelancongan bebas cukai dan pusat pendidikan yang terkemuka semakin bergerak ke arah positif.

Misalnya, WP yang dahulu hanya didiami oleh kaum Kedayan dan Melayu Brunei kini telah menjadi antara destinasi utama kepada pelabur asing untuk berurus niaga.

Tidak dapat dinafikan Labuan menjadi lebih terkenal selepas diiktiraf sebagai Pusat Kewangan Persisir Antarabangsa atau IOFC pada Oktober 1990 yang kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa atau LOSFA dan mempunyai pelabuhan cukai bebas sejak 1956 disebabkan pelabuhan yang dalam dan besar.

Malah, Labuan juga dikatakan sebagai pusat pelancongan disebabkan WP itu mempunyai permandangan air yang jernih dan pantai berpasir sepanjang persisiran pantai yang boleh dijadikan tempat untuk menyelam, jet ski, kayan yang mengelilingi Pulau Labuan.

Kini, Labuan dipercayai semakin maju selepas menjadi tumpuan para pelajar berikutan pembukaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan.

Dapat dilihat pembangunan yang dicapai oleh WP Labuan sedikit sebanyak mampu memberi pengaruh kepada kemajuan yang ada di Malaysia.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan
Kredit: Sinar Harian

Sejarah penubuhan Wilayah Persekutuan

Memetik perkongsian daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada 1 Februari setiap tahun adalah untuk memperingat pengisytiharan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan yang merupakan sambutan kali ke-19 sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

Tambah MKN, Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai wilayah persekutuan yang pertama iaitu pada 1 Februari 1974 oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak.

Selepas 10 tahun penubuhannya, Labuan pula diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan yang kedua pada 16 April 1984 dan disusuli Putrajaya pada 1 Februari 2001 sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan
Kredit: BES Labuan | Facebook

Ini Sebab Kenapa Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan

Menurut perkongsian daripada Wilayahku, WP Kuala Lumpur ditadbir urus oleh DBKL yang diwujudkan pada tahun 1972 yang menggantikan Suruhanjaya Ibu Kota yang ditubuhkan pada tahun 1960.

Beralih kepada WP Labuan yang dibentuk sebagai langkah kerajaan untuk menghapuskan perbezaan antara kaum, bangsa, agama dan semangat kenegerian yang berunsurkan negatif dalam penduduk di Malaysia.

Malah, kewujudan ini merupakan usaha positif kerajaan untuk mencapai matlamat integrasi dan perpaduan seperti yang diharapkan oleh semua rakyat.

Manakala, bagi WP Putrajaya yang berfokuskan kepada menentukan pengurusan dan pentadbiran kelas pertama terhadap infrastruktur yang telah dibangunkan.

Bukan hanya itu, WP Putrajaya turut serancang sebagai pusat kecemerlangan sukan air unggul di dunia di samping menjadi gelanggang utama untuk sukan ekuestrian dan polo.

 

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan
Gambar: BERNAMA

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, 1 Februari 2023

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Seri Rosida Jaafar, sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 (SHWP 2023) disambut dalam keadaan yang sederhana dengan pengurangan perbelanjaan hampir 10 kali ganda daripada sebelumnya, memetik laporan Astro Awani.

Hal ini kerana SHWP 2023 lebih memberi fokus kepada program kesejahteraan dan kebajikan secara berteruskan kepada golongan B40 dan kategori miskin di Kuala Lumpur Labuan dan Putrajaya.

Tambah beliau, Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan telah dijalankan bermula 15 Januari hingga 28 Februari yang telah mengambil tema ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua‘.

Sumber: Astro Awani, Hari Ini Dalam SejarahWilayahku, MKN  , Perlembagaan Persekutuan

The post Sambutan Hari Wilayah Persekutuan: Macam Mana Labuan Boleh Jadi Wilayah? appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*