Banjir Kilat Melanda, Pusat Beli-Belah Di Subang Jaya Dimasuki Air 

pusat subang jaya banjir

Banjir Kilat Melanda, Pusat Beli-Belah Di Subang Jaya Dimasuki Air 

Susulan hujan lebat berterusan hari ini, sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya dimasuki air di ruangan bahagian tingkat bawah bangunan tersebut, lapor Sinar Harian.

Perkara itu mencetuskan panik seketika buat pengunjung yang hadir di pusat beli-belah berkenaan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pada jam 8.39 malam, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati air berketinggian 0.30 meter di lokasi kejadian.

“Banjir itu turut melibatkan sebuah kedai barangan elektrik di ruangan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad, sebaik sahaja hujan reda, air di dalam pusat beli-belah berkenaan mulai surut.

“Pemantauan dijalankan mendapati situasi berada dalam keadaan terkawal dan tidak melibatkan mangsa ketika kejadian,” maklumnya.

Sementara itu, beberapa kawasan di sekitar lokasi tersebut juga dilaporkan dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa jam.

BACA JUGA: 200 Penduduk Semenyih, Bangi Dipindahkan Akibat Banjir

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan petang tadi mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan negeri termasuk di Selangor.

Terdahulu, 200 penduduk di Taman Semenyih Indah dan Kampung Bangi Lama, Selangor dipindahkan selepas rumah mereka terjejas banjir, awal pagi tadi, lapor Bernama.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata operasi memindahkan mangsa bermula 4.30 pagi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS999.

Beliau berkata sebanyak 14 rumah di Taman Semenyih Indah membabitkan 50 orang dinaiki air setinggi 1.5 meter dan trend air semakin menurun.

Dalam pada itu, sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di Selangor dan Perak setakat 8 malam tadi.

Di Selangor, lima PPS dibuka mulai 3 petang tadi di Daerah Sepang berikutan banjir akibat limpahan air Sungai Dengkil susulan hujan berterusan.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi berkata 255 mangsa melibatkan 67 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jenderam Hilir.

Katanya jumlah mangsa di dua lagi PPS iaitu Dewan Orang Ramai Dengkil dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil masih dalam proses kemas kini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Antara kawasan yang terjejas banjir itu ialah Kampung Sungai Buah, Jenderam Hilir, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam Hilir, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Chemperai.

Sumber: Sinar Harian, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)

The post Banjir Kilat Melanda, Pusat Beli-Belah Di Subang Jaya Dimasuki Air  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*