Naik taraf infrastruktur internet sekolah

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI bapa saya menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini yang bertekad memastikan prasarana dan infrastruktur institusi pendidikan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif melalui projek menaik taraf atau penggantian blok bangunan sekolah daif.

KPM juga berjanji akan menerajui Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi menyambut agenda pendidikan digital negara seiring dengan keperluan ketika ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan penggal kedua Parlimen Ke-15 sebelum itu yang menyentuh beberapa perkara melibatkan pendidikan.

Antaranya, dasar pendidikan digital merangkumi penyediaan infrastruktur dan keupayaan digital sedang dirangka bagi merealisasikan agenda pendidikan digital negara dan menjamin akses kepada pendidikan.

Baginda turut menyokong usaha agar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terus diperkasa termasuk mengadakan usaha sama di antara pihak awam dan swasta dengan pihak industri menerajui pengoperasian institusi TVET awam. Langkah itu bagi memastikan graduan dilatih berdasarkan keperluan semasa industri setempat.

Cuma saya sedikit ragu mengenai keupayaan KPM untuk menyediakan infrastruktur dan keupayaan digital yang terkini kerana saya difahamkan kemudahan internet sedia ada agak ketinggalan dan mengalami pelbagai masalah.

Buktinya, proses pendaftaran dalam talian untuk kemasukan ke tingkatan satu sekolah menengah harian banyak kali tergendala akibat masalah internet walaupun sesi persekolahan baharu semakin hampir.

KPM telah menetapkan sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 bermula pada 19 Mac ini bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta 20 Mac bagi kumpulan B iaitu selain dari negeri-negeri terbabit. – UTUSAN

ABDULLAH, Kuala Kangsar, Perak

The post Naik taraf infrastruktur internet sekolah appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*