Saya Dilahirkan Dan Dibesarkan Di Negara Tercinta Ini – Dd Chronicle

Dd Chronicles dilahirkan dan dibesarkan di negara

Saya Dilahirkan Dan Dibesarkan Di Negara Tercinta Ini – Dd Chronicle

Pempengaruh media sosial, Dediy Sulaeman Rae atau lebih dikenali sebagai Dd Chronicle tampil menepis dakwaan fitnah yang mendakwa dirinya sebagai pendatang asing, lapor Sinar Harian.

Perkara itu dinyatakan Dediy selepas terpalit dengan dakwaan fitnah berkaitan kad pengenalan dan data peribadinya yang telah dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Menurut Dediy, tindakan beberapa pihak yang mendakwa dirinya sebagai pendatang asing merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya lahir di negara ini dan berhak menentukan nasib saya dan anak cucu kelak. Saya dilahirkan dan dibesarkan di negara tercinta ini, saya juga mendapat pendidikan di sini, jadi mana datangnya dakwaan yang mengatakan saya orang luar.

“Biarpun ibu bapa saya memegang kad pengenalan merah, tapi ALLAH takdirkan saya lahir di sini. Jadi saya rasa dakwaan yang mengatakan saya pendatang asing adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal waras,” katanya kepada media.

Beliau menegaskan berkenaan perkara itu selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Sungai Buloh pada pagi tadi.

Tambahnya, tindakannya berkempen pada sebelum ini juga tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana ia merupakan satu kebebasan baginya di negara ini.

“Malaysia merupakan negara demokrasi, jadi saya merasakan tidak menjadi salah untuk saya menyokong atau memilih wadah politik tertentu.

“Saya berhak menyuarakan pandangan dan pendapat saya demi masa depan anak cucu saya kelak,” katanya.

Tidak terkesan pada dirinya, tetapi keluarga terkesan

Kata Dediy lagi, pada awalnya beliau tidak terkesan dengan dakwaan berkaitan isu kad pengenalan dan identitinya yang tersebar di media sosial.

“Saya terus terang saya tidak terkesan apa-apa, sebab saya tahu, segala tohmahan tersebut tidak benar.

“Namun apabila perkara ini mengganggu emosi isteri dan anak saya, saya sifatkan ia merupakan satu tindakan melampau dan sewajarnya segera dihentikan,” katanya.

Sementara itu, Asiah Abd Jalil selaku peguamnya berkata bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadap Dediy itu sebagai sesuatu yang mengancam keselamatan.

“Walapun anak guam saya telah tunjukkan kad pengenalannya namun dituduh pula ia palsu. Segala tuduhan tersebut lama kelamaan makin menjadi dan mengancam keselamatan beliau.

“Sehingga ada yang menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ambil tindakan, minta Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu. Jadi atas faktor ini menyebabkan beliau tampil membuat laporan polis,” katanya.

Tambah Asiah lagi, laporan polis itu juga dibuat bagi isu berkaitan satu polisi insurans yang tertera nama Dediy turut disebarkan di media sosial.

“Beliau secara peribadi tidak pernah membuat apa-apa permohonan untuk menyertai skim insurans tersebut.

“Selain itu, beliau juga tidak pernah menandatangani apa-apa surat permohonan, surat persetujuan atau sebarang kontrak insurans dengan skim tersebut,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

The post Saya Dilahirkan Dan Dibesarkan Di Negara Tercinta Ini – Dd Chronicle appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*