‘Saya sendiri dapat ugutan bunuh’ – Tengku Maimun

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan, beliau sendiri pernah mendapat ugutan bunuh selepas mengadili kes berprofil tinggi.

Menurut beliau, meskipun berhadapan dengan situasi itu, kebebasan kehakiman tidak akan terjejas selagi mana kes-kes dikendalikan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa motif tersembunyi atau niat jahat, tanpa tekanan dalaman atau luaran atau mengira latar belakang.

“Umum mengetahui saya sendiri pun mendapat ancaman bunuh, serius atau tidak itu soal lain tapi ia mencapai tahap begitu sekali,” katanya ketika sidang media selepas majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di PICC di sini hari ini.

Ujar beliau, komen-komen yang diberikan kepada badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah, tidak objektif dan berbaur politik.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berkata komen-komen yang diberikan bukanlah komen yang membina sebaliknya mempunyai sentimen politik yang akhirnya mencerminkan si pembuat komen tersebut bukannya badan kehakiman.

“Memang betul pada setiap dalam setiap kes mahkamah putuskan, akan ada pihak yang berpuas hati dan akan ada pihak yang tidak berpuas hati, itu lazim. Yang menjadi luar biasanya dalam kes-kes tertentu melibatkan tokoh-tokoh tertentu, sokongan atau kecaman itu agak luar biasa,” katanya lagi.

Pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan berhubung ancaman dan ugutan terhadap Ketua Tengku Maimun di media sosial.

Tambahnya, PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu ketenteraman awam yang boleh mengganggu gugat keamanan. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya sendiri dapat ugutan bunuh’ – Tengku Maimun appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*