Sedia dikritik, Naim Daniel terus lantang bersuara

KUALA LUMPUR – Penyanyi Naim Daniel yang terkenal dengan sikap lantang bersuara dalam media sosial tidak berhasrat untuk berhenti mengeluarkan pendapatnya biarpun menerima kritikan ramai.

Naim, 26, berkata, apa yang dilakukan itu sebagai satu tanggungjawab untuk bersuara menegur sesuatu yang dianggap tidak betul.

“Saya percaya apa yang kita sampaikan tidak kira sesiapa saja, ada harga yang perlu dibayar. Harga itu haruslah berpatutan dengan apa yang kita cuba jual.

“Selepas mengambil kira dari apa yang dilakukan sebelumnya ketika bersuara dalam media sosial mengenai isu seperti kemanusiaan, politik termasuk masalah berkaitan sesiapa pun, selalunya saya baca semula.

“Setiap hujung tahun saya akan buat ‘post mortem’ (bedah siasat) dan akan tengok semuanya semula. Saya dapat lihat peningkatan kematangan diri dari 2020 lalu sehingga 2022 dan cuba teruskan benda itu,” katanya.

Dalam pada itu, Naim berkata, dia tidak menghalang sebarang kritikan dan sentiasa meraikan perbincangan media sosial dalam kalangan pengikutnya.

Penyanyi lagu Sumpah itu juga menegaskan akan terus menjadi dirinya sendiri dalam memberi pendapat menerusi media sosial.

“Saya sedar setiap apa yang saya sampaikan pasti ada pihak yang menerima dan sebaliknya menentang. Saya juga ambil positif pendapat yang menentang kenyataan saya dan menganggapnya sebagai teguran.

“Saya fikir kalau berdiam terhadap sesuatu perkara, itu akan menjadi masalah kepada masyarakat kelak,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Patah Hati yang diadakan di Red Box Karaoke, The Gardens, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Naim yang ditemui pada majlis sidang media Konsert Patah Hati di Red Box Karaoke, The Gardens, baru-baru ini mengakui permainan media sosial dalam masyarakat kini sesuatu yang bahaya dan perlu berhati-hati.

Sementara itu bercakap tentang Konsert Patah Hati, penyanyi muda itu akan terlibat dalam persembahan tersebut yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Mac depan.

Konsert tersebut bermula pukul 8.30 malam yang menampilkan barisan penyanyi tanah air seperti Ernie Zakri, Noh Salleh, Aisha Retno, Nastia dan Insomniacks. – KOSMO! ONLINE

The post Sedia dikritik, Naim Daniel terus lantang bersuara appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*