Seksa Anak Kera: Aktivis Haiwan, NGO, Gagal Dapat Kebenaran

anak kera ngo

Seksa Anak Kera: Aktivis Haiwan, NGO, Gagal Dapat Kebenaran

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Seorang aktivis haiwan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini gagal mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) enggan mengambil tindakan lanjut terhadap laporan polis berhubung kes penyeksaan anak-anak kera.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, dalam menolak permohonan kebenaran Dr Kartini Farah Abdul Rahim dan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia Global (Hidup), memutuskan bahawa pemohon gagal mengemukakan bukti prima facie terhadap alasan mencabar keputusan AGC.

“Pemohon mesti memberikan bukti di luar tangkapan skrin Telegram kumpulan, pemacu google yang terdiri daripada video anak-anak kera yang diseksa, laporan polis, dan artikel BBC untuk mengatasi anggapan ini,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan menerusi prosiding Zoom hari ini.

Pada 16 Jun lalu,  Dr Kartini Farah dan Hidup sebagai pemohon pertama dan kedua memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), AGC dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Wanita itu memohon perintah untuk mengetepikan keputusan AGC bertarikh 5 April lalu untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap laporan polis yang dibuat pemohon, selain memohon perintah mengarahkan AGC mendakwa pelaku mengikut undang-undang yang sewajarnya.

Menurut pemohon, rakaman seperti mengerat leher binatang itu dengan menggunakan gunting, membakarnya ketika ia masih hidup dan memotong jari haiwan berkenaan secara satu persatu, telah dikongsi dalam aplikasi Telegram yang disertai ratusan individu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa polis membebaskan individu berkenaan tanpa sebarang tuduhan dibuat terhadapnya.

Semasa prosiding hari ini, pemohon diwakili peguam L. Pavitra manakala pihak AGC oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.

Sumber: BERNAMA

The post Seksa Anak Kera: Aktivis Haiwan, NGO, Gagal Dapat Kebenaran appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*