Semurah RM1, ‘Menu Sanusi’ Di Bukit Payung, Kedah Laku ‘Keras’

menu sanusi rm 1

Semurah RM1, ‘Menu Sanusi’ Di Bukit Payung, Kedah Laku ‘Keras’

Demi membantu orang ramai, sebuah kedai makan mengambil inisiatif memperkenalkan menu berharga RM1 dikenali Menu Sanusi di Bukit Payung.

Pemilik kedai makan, Nur Ezzeanni Abdullah (43) berkata, pihaknya sebenarnya telah menjual beberapa jenis menu dengan harga RM1 sebelum ini. Malah, inisiatif ini dimulakan sejak sebelum negara dilanda pandemik lagi.

Bagaimanapun, wanita tersebut berkata, mereka telah bertindak untuk menjenamakan menu RM1 sebagai Menu Sanusi.

Keputusan itu diambil susulan kemenangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah baru-baru ini.

“Antara makanan berharga RM1 ialah mi kari, laksa,kuey teow, ayam goreng rempah, ayam masak kicap, ayam masak ros, ayam rendang dan sebagainya.

“Hampir setiap hari, kami menyediakan pilihan menu berbeza kepada pelanggan, misalnya hari ini kita masak mi kari dan apabila habis akan ditambah menu lain,” katanya ketika ditemui di kedainya di Anjung Selera Rasa Anakku, di sini, pada Rabu.

Jelas pengusaha kedai makan selama 17 tahun itu, menu berharga RM1 terbabit adalah bukti bahawa terdapat menu yang boleh dijual kepada pelanggan dengan harga yang murah.

Menu Sanusi secara tidak langsung mempromosikan Kedah kepada orang ramai

Difahamkan, suaminya, Azizan Mahmud (44) telah mencetuskan idea agar menu RM1 dinamakan semula sebagai Menu Sanusi.

“Jadi, apabila orang teringat Menu Sanusi maka orang teringat bahawa dekat Kedah akan jual makanan murah,” jelasnya.

Dalam pada itu, mereka juga berharap Menu Sanusi itu akan memperkenalkan lagi Kedah kepada rakyat Malaysia secara tidak langsung.

Kata Nur Ezzeanni, dia telah dibantu 12 pekerja dan akan memasak antara 20 hingga 30 makanan termasuklah Menu Sanusi di kedai yang beroperasi dari Ahad hingga Khamis.

Beliau berkata, mereka turut menjual pelbagai jenis makanan lain di kedai makan itu, selain Menu Sanusi dengan harga yang berpatutan.

“Alhamdulillah, sambutan orang ramai terhadap menu RM1 memang sangat baik. Bayangkan, baru letak sahaja Menu Sanusi seperti mi kari dan tidak lama kemudian ia habis. Jadi, kami kerap menambah dan memasak lauk baharu,” ujarnya.

Tambahnya, dirinya tidak melihat menu RM1 itu sebagai satu bentuk kerugian, sebaliknya sebagai satu bentuk sedekah kepada penduduk tempatan.

“Tidak rugi sebaliknya masih beroleh keuntungan, malah sekurang-kurangnya kami dapat membantu penduduk yang kebanyakannya terdiri dari penoreh getah,” katanya.

Pelanggan boleh memilih beberapa jenis menu berharga RM1 di kedai mereka yang beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 3 petang itu.

BACA: Kenapa Doktor Gigi Dipanggil Bantu Siasat Kemalangan Pesawat Terhempas? Ini Jawapannya

Sumber: Sinar Harian

The post Semurah RM1, ‘Menu Sanusi’ Di Bukit Payung, Kedah Laku ‘Keras’ appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*