Sentiasa Peka & Beringat, Ketahui Petanda Awal Kejadian Kepala Air

kepala air fenomena

Sentiasa Peka & Beringat, Ketahui Petanda Awal Kejadian Kepala Air

Jika anda sering beriadah di kawasan rekreasi yang memiliki aliran sungai, sudah semestinya anda dinasihati untuk berhati-hati.

Selain daripada mengurangkan risiko lemas, anda juga diminta untuk berjaga-jaga dan segera meninggalkan kawasan sungai apabila berdepan dengan tanda-tanda kepala air.

Fenomena ini mungkin kedengaran agak asing dan dangkal bagi segelintir orang yang baru mendengarnya buat kali pertama.

Sungguhpun begitu, fenomena kepala air ini satu perkara yang serius dan boleh membawa kepada risiko kematian, jika tidak dapat ditangani dengan baik.

Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) melalui Astro Awani telah menerangkan berkenaan fenomena ini secara komprehensif.

Kredit: Bernama
Secara ringkasnya, fenomena kepala air adalah limpahan air deras di kawasan sungai secara tiba-tiba. Kebiasaannya, perkara ini berlaku berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai, khususnya pada musim tengkujuh.

Fenomena kepala air juga berlaku seiring bersama beberapa bencana alam di persekitaran kawasan sungai seperti tanah runtuh dan gempa bumi.

Ketika fenomena ini berlaku, paras air sungai boleh meningkat secara mendadak iaitu dua meter yang sememangnya melebihi ketinggian manusia.

Selain meningkatkan paras air dan kederasan sungai, fenomena ini turut berlaku dalam jangka masa yang agak singkat iaitu lima hingga 10 minit.

Fenomena ini bukan sekadar membawa aliran air yang deras sehingga ke kawasan hilir sungai, ia turut membawa beberapa bendasing di dalamnya seperti pokok, haiwan, lumpur dan sebagainya.

Perkara ini menyebabkan mangsa yang terperangkap di dalamnya menjadi semakin sukar untuk bergerak ke bahagian tebing.

fenomena kepala air
Kredit: Bernama

Tanda-tanda awal fenomena kepala air

Disebabkan insiden ini boleh berlaku dalam jangka masa yang sangat singkat, kita perlu cakna dengan beberapa tanda awal yang boleh dikesan dengan menggunakan pancaindera kita. Berikut merupakan tandanya.

1. Sebelum aliran air deras mula datang menghampiri kawasan anda, bunyi seakan-akan letupan akan kedengaran daripada arah hulu sungai. Bunyi ini terhasil daripada akar-akar pokok yang tidak stabil, tanah pecah dan pokok tumbang akibat menerima momentum daripada aliran air deras.

2. Keadaan langit gelap di bahagian hulu iaitu di kawasan puncak bukit disertai dengan bunyi guruh yang kuat.

3. Warna air sungai mengalami perubahan yang sangat ketara dan menjadi sangat keruh dalam masa yang singkat. Selain air sungai menjadi berwarna gelap atau kehitaman, banyak buih turut kelihatan pada permukaan air sungai.

4. Kehadiran daun, ranting dan sampah sarap dalam kuantiti yang banyak di dalam air sungai dan berkumpul pada satu tempat.

Oleh itu, kita wajar untuk mengenal pasti tanda-tanda kepala air bagi memastikan keselamatan diri dan orang tersayang terjamin.

Pada masa yang sama, kita juga perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi kawasan-kawasan yang berisiko, khususnya pada waktu yang kritikal seperti musim tengkujuh.

BACA: Rasa Nak Bersara Awal, Ketahui Syarat-Syarat Sebelum Mohon

Sumber: Astro Awani, Perpustakaan Awam Kulim

The post Sentiasa Peka & Beringat, Ketahui Petanda Awal Kejadian Kepala Air appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*