Seorang ditahan kes lelaki lari pengawasan polis ditemukan mati

IPOH: Polis mengesahkan punca kematian seorang lelaki yang lari daripada pengawasan polis di hadapan sebuah rumah di Taman Klebang Putra, Chemor di sini semalam, disebabkan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, punca kematian itu diperoleh hasil proses bedah siasat ke atas mayat lelaki berusia 37 tahun yang selesai dijalankan di Jabatan Forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun telah ditahan di Chemor bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Ipoh. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan rakan-rakan sepenjenayah yang masih bebas,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, dengan tertangkapnya suspek, maka kes itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 17 jam selepas laporan polis diterima.

“Pihak polis akan melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu yang merupakan seorang penganggur ditemukan mati di hadapan rumahnya dengan pelbagai kesan kecederaan di badan.

Lelaki itu ditemukan dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap oleh adik iparnya yang kemudian melaporkan pada polis sekitar pukul 11.28 malam.

Kejadian itu pada mulanya disangkakan kemalangan ekoran saksi ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran melarikan diri dari tempat kejadian.

Berdasarkan semakan, si mati didapati individu yang melarikan diri daripada pengawasan polis dari Parit Buntar dan satu laporan polis telah dibuat terhadapnya di bawah Seksyen 6(3) Akta Pencegahan Jenayah. – UTUSAN

The post Seorang ditahan kes lelaki lari pengawasan polis ditemukan mati appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*