Sherpa Kongsi Detik Cemas Selamatkan Pendaki Malaysia Di ‘Zon Kematian’ Everest

sherpa pendaki malaysia everest

Sherpa Kongsi Detik Cemas Selamatkan Pendaki Malaysia Di ‘Zon Kematian’ Everest

Seorang sherpa bangsa Nepal berkongsi detik cemas menyelamatkan pendaki Malaysia pada altitud tinggi, yang berada di ‘zon kematian’ Gunung Everest, lapor The Independent.

Ketika kejadian, Gelje Sherpa sedang membimbing pendaki China yang menaiki puncak tertinggi di dunia itu pada 18 Mei lalu.

Dalam satu kejadian yang sama lelaki berusia 36 tahun itu ternampak seorang pendaki Malaysia yang terkandas dan dikatakan sedang berpaut pada tali serta menggigil akibat kesejukan melampau di puncak melebihi 8,000 meter.

Difahamkan, Gelje membuat perkongsian kepada umum mengenai insiden itu dengan memuat naik video di laman Instagramnya (@gelje_sherpa_).

Kredit: Instagram @gelje_sherpa_

Video tersebut memaparkan Gelje sedang membalut pendaki itu menggunakan alas.

“Di kawasan Balkoni sekitar 8,300m saya melihat seseorang dalam bahaya. 

“Seorang lelaki yang perlu diselamatkan dan tiada orang lain membantu.

“Saya membuat keputusan untuk membatalkan sesi memberi panduan kepada pendaki lain supaya saya boleh membawa (mangsa) ke tempat yang selamat sebelum dia mati di sana bersendirian,” tulisnya.

Sesi menyelamatkan mangsa itu turut dibantu oleh seorang lagi pendaki, Ngima Tashi di mana dia juga membantu mendukung mangsa.

“Kami membalut tubuhnya dengan alas tempat tidur, dan menariknya ke bawah serta mengangkatnya di belakang kami secara bergilir-gilir ke Kem 3,” tambahnya.

Mangsa telah dibawa turun oleh Gelje ke padang kem supaya rawatan perubatan dapat diberikan.

Mengulas lanjut, Gelje berkata menyelamatkan satu nyawa adalah lebih penting daripada melakukan hal yang lain.

Pendaki itu dibawa dalam penerbangan pulang ke Malaysia minggu lalu dan identitinya tidak dikenal pasti atas sebab privasi.

BACA: Everest: Apa Yang Terjadi Pada Badan Manusia Jika Berada Di Zon Kematian

‘Hampir mustahil…’

Kerajaan Nepal pada Rabu lalu berkata pendaki itu terselamat selepas Gelje mendukungnya selama hampir enam jam.

“Hampir mustahil untuk menyelamatkan pendaki pada ketinggian itu.

“Ia adalah operasi yang sangat jarang berlaku,” kata pegawai Jabatan Pelancongan Bigyan Koirala.

‘Zon kematian’ ialah nama yang diberikan kepada bahagian tertinggi Everest, iaitu kawasan di atas 26,247 kaki (8,000m).

Oksigen atmosfera di sana adalah sangat rendah sehingga sel-sel dalam tubuh manusia bertindak mati jika tiada sebarang oksigen tambahan.

Kajian menunjukkan bahawa pendaki akan mengalami masalah pertimbangan, di mana mereka boleh mengalami strok, serangan jantung dan penyakit ketinggian yang teruk.

Sebelum ini, Nepal telah mengeluarkan 478 permit untuk mendaki Everest tahun ini, rekod sebelumnya ialah 409 pada 2021.

Sekurang-kurangnya 12 pendaki dilapor telah meninggal dunia pada musim ini sekali gus menjadikan ia sebagai jumlah tertinggi dalam masa lapan tahun.

Sumber: The Independent

The post Sherpa Kongsi Detik Cemas Selamatkan Pendaki Malaysia Di ‘Zon Kematian’ Everest appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*