Siswazah Penghidap Penyakit Jantung Raih Anugerah Diraja UniSZA

Siswazah Anugerah Diraja UniSZA

Siswazah Penghidap Penyakit Jantung Raih Anugerah Diraja UniSZA

KUALA NERUS, 5 Nov (Bernama) — Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nur Aufa Johan, 24, tidak menjadikan penyakit jantung sebagai halangan untuk beliau meraih kecemerlangan.

Sebaliknya, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu menganggap dugaan tersebut sebagai motivasi untuk menggapai cita-cita.

Anak kelima dari enam beradik itu berkata beliau diserang penyakit jantung bengkak dan hipertiroidisme ketika berusia 15 tahun.

Sejak itu beliau terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang didudukinya tidak berapa memuaskan.

“Waktu itu memang sedih kerana hasrat saya ingin menghadiahkan keputusan cemerlang buat ibu bapa seperti abang dan kakak yang lain tidak kesampaian.

BACA JUGA: Pelajar Cemerlang SPM Jaga Ibu Hingga Hujung Nyawa Sahkan Terima Lebih 10 Tawaran Pengajian

“Walaupun ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa balasan kerana memahami kesulitan yang saya hadapi, saya tetap berazam untuk berusaha lebih gigih dan menghadiahkan kejayaan untuk mereka suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali ke-15, di sini hari ini.

Nur Aufa akhirnya berjaya melunaskan azam itu hari ini apabila dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan selepas mencatat nilai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (CGPA) 3.91, sekali gus menerima hadiah berupa trofi dan wang tunai RM7,500.

Hadiah disampaikan oleh Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA.

Gadis itu yang kini bekerja sebagai pegawai strategik di bahagian Komunikasi Korporat PETRONAS di ibu negara merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana.

Walaupun menyedari tekanan dan kesulitan yang bakal dihadapi, beliau tetap menggenggam harapan untuk bergelar doktor falsafah.

“Insya-Allah dengan iltizam yang kuat dan sokongan ibu bapa, saya pasti dapat mencapai semua yang dicita-citakan suatu hari nanti,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Siswazah Penghidap Penyakit Jantung Raih Anugerah Diraja UniSZA appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*