Syarikat Didakwa Sengaja Pindah Pejabat Ke Gunung, ‘Paksa’ Pekerja Berhenti

Syarikat Didakwa Sengaja Pindah Pejabat Ke Gunung, ‘Paksa’ Pekerja Berhenti

Sebuah syarikat di China dilapor mengubah lokasi mereka dari kawasan perniagaan di pusat bandar ke sebuah kawasan pergunungan terpencil.

Syarikat itu didakwa dengan sengaja memindahkan operasi mereka supaya pekerja-pekerja akan berasa ‘terpaksa’ meletakkan jawatan dan bukannya ‘diberhentikan’.

Hal ini supaya syarikat itu tidak perlu membayar wang pampasan kepada pekerja kerana mereka telah meletakkan jawatan.

Kejadian itu didedahkan oleh bekas pekerja sendiri iaitu Chang. Menurutnya, lokasi syarikat yang baharu itu terletak di kawasan Pergunungan Qinling.

Lokasi itu memerlukan pekerja syarikat tersebut mengambil masa selama dua jam dalam perjalanan sehala untuk ke pejabat dan kawasan itu tidak mempunyai pengangkutan awam yang banyak.

“Rakan sekerja saya yang tiada kenderaan perlu bergantung kepada bas yang beroperasi setiap tiga jam dan perlu berjalan sejauh tiga kilometer melalui laluan pergunungan untuk sampai ke pejabat,” kata Chang.

Katanya lagi, tambang teksi dari stesen kereta api terdekat adalah 50 yuan (RM32.92) hingga 60 yuan (RM39.50), dan pihak syarikat tidak mahu memberikan subsidi pengangkutan.

Selain itu, Chang turut mendedahkan keadaan lokasi baharu syarikat itu yang mempunyai kualiti yang sangat rendah serta keadaan bekerja yang tidak selamat.

Syarikat Kembali Ke Lokasi Asal

Menurutnya, kawasan baharu itu tiada kemudahan yang sepatutnya dan pekerja wanita terpaksa berjalan ke perkampungan berdekatan yang agak jauh hanya untuk menggunakan tandas awam.

Dia juga menyatakan kerisauannya terhadap keselamatan rakan sekerja yang pulang pada waktu malam kerana terdapat banyak anjing liar yang akan mengikuti mereka.

Disebabkan keadaan yang memudaratkan diri itu, 14 orang daripada 20 orang pekerja syarikat tersebut memutuskan untuk meletakkan jawatan.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa protes yang dijalankan tidak mendatangkan hasil.

Tetapi, empat hari selepas mereka meletakkan jawatan, mereka mendapati bahawa syarikat itu telah kembali berpindah ke tempat yang lama dan sedang giat mencari pekerja baharu.

Pekerja syarikat itu mendakwa syarikat tersebut dengan sengaja memindahkan lokasi ke tempat yang menyukarkan mereka untuk bekerja supaya mereka terpaksa meletakkan jawatan.

Namun, wakil syarikat tersebut iaitu Zhang, menyangkal dakwaan berkenaan dan menyatakan pemindahan itu dilakukan untuk sementara waktu kerana mahu mengurangkan kos.

“Sewa di pusat perniagaan (lokasi asal) amat tinggi, dan pejabat baharu sedang diubah suai. Kami melakukan homestay, jadi kami berpindah di situ selama seminggu,” kata Zhang.

Menurutnya lagi, tindakan undang-undang sedang dipertimbangkan kepada pekerja kerana telah mencemarkan nama baik syarikat serta menyebabkan potensi kerugian dalam perniagaan mereka.

Majikan Yang Licik

Namun, para pekerjanya telah menyangkal kenyataan mengenai syarikat itu dipindah hanya untuk seminggu.

Kami diberitahu tempoh bekerja di kawasan itu boleh menjadi sangat lama, mungkin sehingga tahun depan. Jika hanya seminggu, siapa saja yang tidak boleh bertahan dengan keadaan bekerja itu?” kata seorang pekerja.

Kejadian itu telah menarik perhatian orang ramai dan kebanyakan warga maya menyokong para pekerja dan mengkritik taktik syarikat terbabit.

“Majikan syarikat amat licik. Bos yang begini amatlah membahayakan,” kata seorang warga maya.

Ada juga yang mengatakan, “Kalau saya berada di tempat mereka, saya akan menyewa rumah di kawasan pergunungan itu. Sewanya murah dan saya tidak akan pergi tanpa pampasan yang sepatutnya.

Kontrak buruh menentukan lokasi tempat kerja. Berpindah dari pejabat asal merupakan pelanggaran kontrak. Pekerja boleh memilih untuk meletak jawatan secara paksa dan mendapatkan pampasan,” kata seorang lagi warga maya.

Sumber: South China Morning Post

BACA JUGA: Mati Hidup Semula, Ambulans Terlanggar Lubang ‘Hidupkan Mayat’

The post Syarikat Didakwa Sengaja Pindah Pejabat Ke Gunung, ‘Paksa’ Pekerja Berhenti appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*