Syed Saddiq Hadiri Prosiding Bela Diri Di Mahkamah Hari Ini

syed saddiq bela diri

Syed Saddiq Hadiri Prosiding Bela Diri Di Mahkamah Hari Ini

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah tiba di Mahkamah Tinggi untuk memberi keterangan dalam prosiding hari pertama bela diri pada 9.18 pagi tadi.

Memetik laporan Astro Awani, ahli Parlimen Muar tersebut hadir dengan mengenakan sut biru gelap dan ditemani penyokong-penyokongnya.

Selain penyokong, sesi tersebut turut dihadiri kedua ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Abdullah Alsagoff dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama bagi menjawab empat pertuduhan.

Pasukan pendakwaan memberitahu, pihaknya telah menerima pernyataan saksi pemimpin MUDA tersebut pada Sabtu lalu.

Selepas membaca dokumen itu, Syed Saddiq (31) akan disoal peguamnya dalam pemeriksaan utama diikuti pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta.

Dalam pertuduhan tersebut, beliau didakwa telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana berkenaan pada 6 Mac 2020.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh akan dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, beliau dituduh atas kesalahan penyalahgunaan harta untuk kegunaan diri sendiri sebanyak RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Beliau didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Selain itu, beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram. Antaranya, memindahkan RM50,000 masing-masing ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya serta akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd ‘Afif Ali, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Noor Syafina Mohd Radzuan dan Mohd Shahrom Idris.

Bagi pihak pembelaan pula diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit.

BACA: Projek Jana Wibawa: Wan Saiful Didakwa Terima Rasuah RM6.9 Juta

Sumber: Sinar Harian

The post Syed Saddiq Hadiri Prosiding Bela Diri Di Mahkamah Hari Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*