PERKESO Membantu Pekerja Terbencana Untuk Bangkit Semula Menerusi Program Hilang Upaya Dan Return To Work

KLANG, SELANGOR – Seorang pekerja yang dilindungi Pertubuhan Keselamatan  Sosial (PERKESO) hari ini mendapat sinar baharu dalam hidupnya apabila beliau bukan  sahaja diberikan peralatan sokongan pemulihan untuk meneruskan aktiviti harian setelah  kaki kirinya diamputasi hingga paras bawah lutut, malah beliau akan menjalani  rehabilitasi fizikal dan vokasional secara intensif untuk membolehkannya berdikari dan  kembali meneruskan pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga. 

Menteri Sumber Manusia, Tuan V. Sivakumar yang berkunjung ke rumah Cik Jancey  Rani A/P Rajindran, telah menyampaikan sebuah Kaki Palsu yang ditambah baik,  Kerusi Roda, Surat Tawaran menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi  PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR) dan juga Surat Tawaran untuk penyertaan  dalam Program Return to Work (RTW) kepada beliau. 

Cik Jancey yang sebelum ini bekerja sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di City Link Express HQ di Glenmarie, Shah Alam, dilindungi PERKESO di bawah Akta  Keselamatan Sosial Pekerja 1969.  

Berusia 43, Cik Jancey menghidap kencing manis sejak berusia 19 tahun lagi. Beliau  mula menghadapi masalah kesihatan berkaitan penyakit kencing manis sejak tahun 2018 apabila berlaku luka kecil di jari kedua kaki kiri yang merebak sehingga perlu dipotong.  Malangnya, keadaan yang sama berulang pada tahun 2020 apabila jari kelingking kaki  kiri pula terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman. Pada Mei 2022, kaki kirinya pula terpaksa diamputasi sehingga paras bawah lutut oleh doktor di Hospital Tengku  Ampuan Rahimah untuk mengelak komplikasi kesihatan akibat jangkitan kuman yang  teruk. 

Beliau kemudiannya menjalani rawatan pemulihan dan menerima kaki palsu pertama  pada Oktober 2022 setelah pihak hospital memohon kaki palsu untuknya menerusi  Sistem Inspire PERKESO. Walau bagaimanapun, Cik Jancey kurang sesuai dengan kaki  palsu tersebut. 

Beliau telah membuat permohonan untuk Pencen Ilat PERKESO. Namun berdasarkan  penilaian oleh panel Jemaah Doktor, beliau disahkan tidak mengalami keilatan.  PERKESO juga telah meluluskan rawatan rehabilitasi untuknya di PRPTAR Melaka namun beliau masih belum menjalani rawatan tersebut. 

Prihatin dengan situasi Cik Jancey, wakil PERKESO telah melawat beliau di rumahnya  pada 31 Januari dan 3 Februari tahun ini untuk mengetahui lebih lanjut keperluan  beliau serta memberi galakan dan motivasi kepadanya. Kunjungan oleh Pengurus  PERKESO Klang, Skuad PERKESO Prihatin (SPP) Klang dan juga Pengurus Kes RTW  ini mendapati Cik Jancey mempunyai potensi besar untuk kembali bekerja sekiranya  diberikan rehabilitasi, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya. Beliau juga layak  menerima peralatan pemulihan seperti kerusi roda dan tongkat. 

Cik Jancey dijangka akan bekerja semula dengan majikannya sebelum ini iaitu City-Link  Express HQ di Glenmarie, Shah Alam setelah selesai menjalani rawatan rehabilitasi di  Melaka. 

Dengan pekerjaan yang menanti Cik Jancey kelak, beliau boleh berdikari dengan  pendapatan tetap untuk menyara diri dan keluarga. Beliau yang masih bujang tinggal  bersama ibu, Sukamangai A/P Nadasan dan adik lelaki, Archunan A/L Rajindran, 42, di  Taman Sentosa, Klang. Mereka sekeluarga boleh menghela nafas lega demi  kelangsungan hidup walaupun Cik Jancey mengalami musibah yang tidak dijangka. 

Bantuan dan sokongan PERKESO menerusi program pengurusan hilang upaya, RTW  PERKESO serta rehabilitasi fizikal dan vokasional di PRPTAR Melaka, tentunya  membantu kehidupan keluarga ini di mana Puan Sukamangai, 65, merupakan pesakit  kanser manakala Archunan, 42, hanyalah seorang operator kilang.  

Perlindungan keselamatan sosial yang disediakan PERKESO bukan sahaja meliputi  pampasan kewangan seperti bayaran faedah, tetapi juga pengurusan hilang upaya dan sokongan intensif untuk membolehkan pekerja yang mengalami bencana kerja  atau penyakit kembali ke alam pekerjaan, memperoleh pendapatan sendiri serta aktif  semula dalam kehidupan bermasyarakat. 

PERKESO percaya, pekerja yang mengalami kekangan dan cabaran fizikal akibat  kemalangan pekerjaan atau penyakit namun masih mempunyai potensi untuk kembali  bekerja, mampu bangkit semula dengan bantuan dan sokongan PERKESO menerusi  rawatan pemulihan dan Program RTW. Mereka boleh, sebaik mungkin, kembali kepada  kehidupan asal, berdikari, memperoleh pekerjaan yang sesuai dan bermotivasi untuk  kembali kepada kehidupan asal sebelum musibah berlaku. 

PERKESO kini melindungi golongan pekerja dalam sektor formal, pekerja domestik,  pekerja asing, individu bekerja sendiri dan suri rumah. Untuk maklumat lanjut, sila layari  laman web rasmi PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi talian Careline  PERKESO 1-300-22-8000

The post PERKESO Membantu Pekerja Terbencana Untuk Bangkit Semula Menerusi Program Hilang Upaya Dan Return To Work appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*