Tabung Haji Gantung Lesen Emraz Travel

lesen emraz travel

Tabung Haji Gantung Lesen Emraz Travel

KUALA LUMPUR —  Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours Sdn Bhd.

Langkah awal tersebut dilaksanakan bagi melindungi kebajikan jemaah haji.

Difahamkan, keputusan itu dibuat berikutan makluman beberapa aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang diberikan oleh syarikat tersebut.

Lesen Emraz Travel Digantung

“Bakal haji yang memilih untuk mengerjakan haji melalui pakej swasta masih boleh memilih antara 22 lagi syarikat PJH yang dilesenkan. Ia termasuk anak syarikat TH iaitu, TH Travel & Services Sdn Bhd,” maklum badan pengurusan haji tersebut.

Tambah TH, pihaknya sentiasa memantau prestasi syarikat PJH yang dilesenkan. Ia termasuklah perkhidmatan yang diberikan bagi ibadah umrah.

“TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak demi untuk menjamin kebajikan jemaah haji negara,” kata TH lagi.

Terdahulu, sebanyak 23 syarikat pelancongan tempatan diberikan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) termasuk anak syarikatnya TH Travel & Services Sdn Bhd, bagi musim haji 1444H / 2023, lapor Bernama.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Eksekutif TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Kata Syed Saleh,  pemilihan tersebut, bagi memastikan syarikat pelancongan tempatan yang terpilih, memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman mencukupi serta berwibawa, dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

Lebih-lebih lagi dalam aspek menjaga kebajikan jemaah haji negara.

“Syarikat yang berdaftar boleh memohon menjadi PJH yang berlesen dan dipilih secara tahunan. Ia setelah memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

“Musim haji kali ini terdapat syarikat PJH yang baharu diluluskan lesen bagi memberi lebih banyak pilihan kepada bakal haji.

“TH ingin mengingatkan semua bakal jemaah haji yang berhasrat ingin menunaikan haji tahun ini, untuk lebih berhati-hati dan memilih pakej yang disediakan oleh syarikat-syarikat PJH yang dilesenkan ini sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA JUGA: Bakal Jemaah Haji Perlu Jawab Surat Tawaran Dalam Tempoh Tujuh Hari

Menurutnya lagi, bagi bakal haji yang berhasrat ke tanah suci melalui PJH perlu mendaftar dengan syarikat pilihan mereka. Ia selepas menerima surat tawaran menunaikan haji.

“Kesemua wakil syarikat terlibat, telah diberi taklimat mengenai terma dan syarat perkhidmatan pakej musim haji. Orang ramai boleh merujuk kepada laman web rasmi TH di pautan www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di talian 03-62071919, untuk maklumat lanjut,” katanya.

Sumber: Tabung Haji

The post Tabung Haji Gantung Lesen Emraz Travel appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*