Tak Boleh Bermain, Rupanya Al-Nassr Belum Lagi Daftar Ronaldo Jadi Pemain Secara Rasmi

Debut Ronaldo Dengan Kelab Saudi Ditangguh Sebab Kuota Pemain

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk melakukan debut bersama kelab terbaharunya, Al Nassr dalam Liga Pro Arab Saudi selepas kuota pemain asing kelab itu sudahpun mencukupi.

Ketika diumumkan sebagai pemain termahal dunia dalam majlis pengenalam serba meriah Selasa lepas, pemain berusia 37 tahun itu berkata beliau sudah tidak sabar untuk bermain secepat mungkin dan bersedia untuk turun menentang Al Ta’ee.

Bagaimanapun Ronaldo, yang menandatangani perjanjian yang dianggarkan bernilai €200 juta (RM931 juta) hingga Jun 2025, merupakan pemain asing kesembilan Al-Nassr, iaitu melebihi kuota lapan pemain asing yang ditetapkan badan berkuasa bola sepak Arab Saudi.

“Al Nassr belum mendaftarkannya kerana tiada kekosongan untuk pemain asing.

“Seorang pemain asing mesti dilepaskan untuk mendaftarkan Ronaldo, sama ada dengan menjual atau menamatkan kontrak dengan persetujuan bersama,” kata seorang jurucakap kelab kepada AFP.

Antara pemain asing yang beraksi bersama kelab itu ketika ini termasuk penjaga gol Colombia, David Ospina, pemain tengah, Luiz Gustavo dan penyerang, Anderson Talisca dari Brazil serta Vincent Aboubakar dari Cameroon.

Laporan media Arab Saudi berkata, pemain tengah Uzbekistan, Jaloliddin Masharipov berkemungkinan besar terpaksa dikorbankan bagi memberi laluan kepada pemenang lima kali Ballon d’Or dan penjaring rekod Liga Juara-Juara itu untuk beraksi.

Sumber kelab kedua mengesahkan bahawa Ronaldo tidak didaftarkan setakat petang Khamis waktu tempatan.

“Terdapat rundingan berterusan untuk menjual salah seorang pemain, tetapi belum sampai ke peringkat akhir,” kata sumber itu lagi.

Namun, kedua-dua pegawai enggan mengesahkan sama ada Ronaldo masih perlu menjalani penggantungan dua perlawanan yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris ketika beraksi di EPL kerana menghempas telefon bimbit seorang peminat remaja ketika Manchester United ditewaskan oleh Everton.

Dalam pada itu, perlawanan pertama Al-Nassr sejak kehadiran Ronaldo turut ditunda atas sebab-sebab keselamatan.

Sumber: AFP

The post Tak Boleh Bermain, Rupanya Al-Nassr Belum Lagi Daftar Ronaldo Jadi Pemain Secara Rasmi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*