Tak Puas Hati Ditegur Ambil Lauk Guna Jari, Lelaki Disyaki Mabuk Mengamuk Pukul Pekerja Restoran

ambil lauk guna jari

Tak Puas Hati Ditegur Ambil Lauk Guna Jari, Lelaki Disyaki Mabuk Mengamuk Pukul Pekerja Restoran

Seorang lelaki yang disyaki mabuk mengamuk selepas ditegur mengambil makanan menggunakan jari di sebuah restoran di Cyberjaya pada semalam, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azlan Wan Yusof berkata bahawa pengurus restoran terkenal itu telah dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut.

Dia telah menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 7.30 petang dari pekerjanya.

Menurut Wan Kamarul, pengurus yang berusia 48 tahun itu kemudiannya bergegas ke premis dan mendapati beberapa barangan restoran telah dirosakkan.

Antara barangan yang dirosakkan adalah pinggan dan beberapa lauk yang terpaksa dibuang akibat telah tercemar.

Ambil lauk guna jari

“Siasatan awal polis mendapati tiga lelaki tempatan datang ke restoran terbabit untuk makan.

“Salah seorang daripada lelaki itu kemudian telah menggunakan jarinya untuk mengambil lauk di bahagian nasi kandar dalam keadaan mabuk.

“Kemudian pekerja premis telah menegur supaya tidak membuat sedemikian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hanya ditegur sebab pegang makanan guna jari

Tambahnya, selepas ditegur, suspek telah bertindak agresif dan mengamuk sambil memukul pekerja premis.

Salah seorang daripada suspek juga didapati telah menggunakan penyepit makanan besi lalu memukul pekerja premis tersebut di bahagian kepala dan badan.

Ekoran daripada kejadian itu, polis telah bertindak menahan tiga suspek berusia 50 dan 51 tahun pada hari ini.

“Penahanan pertama dibuat pada jam 1.40 pagi di pekarangan Balai Polis Cyberjaya manakala dua lagi ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira jam 10 pagi.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” ujarnya.

Kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 324, Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian berasingan, tiga lelaki warga tempatan berjaya ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas.

Memetik Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zin berkata bahawa ketiga-tiga lelaki berusia antara 44 hingga 68 tahun itu berjaya ditahan.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana telah mengakibatkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

Menurut Jafri Md Zin, kejadian pergaduhan itu melibatkan seorang penghantar makanan dan pelanggan restoran terbabit. Video rakaman kejadian juga telah tular di media sosial sejak Rabu lalu.

“Kita menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 66 tahun berkenaan kejadian pergaduhan antara pengadu dan rakannya serta seorang penghantar makanan.

“Pada hari sama kita turut menerima laporan daripada penghantar makanan itu. Disebabkan pergaduhan itu kedua-dua pengadu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.

“Setakat ini punca kejadian sebenar masih disiasat,” katanya menerusi kenyataan pada ini.

Sumber: Sinar Harian

The post Tak Puas Hati Ditegur Ambil Lauk Guna Jari, Lelaki Disyaki Mabuk Mengamuk Pukul Pekerja Restoran appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*