Tak Puas Hati Keputusan Seri Dengan Malaysia, Penyokong China Minta “Refund” Duit Tiket

penyokong china refund

Tak Puas Hati Keputusan Seri Dengan Malaysia, Penyokong China Minta “Refund” Duit Tiket

Gara-gara kecewa dengan keputusan seri dalam aksi persahabatan, penyokong bola sepak China menuntut ganti rugi bagi tiket perlawanan yang dibeli semasa menyaksikan perlawanan China menentang Malaysia di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Sabtu.

Menerusi video yang dimuat naik China Sport Vision, ia memaparkan keadaan riuh di stadium selepas DJ membuat pengumuman keputusan 1-1, kerana mengundang berang dalam kalangan penyokong tuan rumah.

Rata-rata mereka menjerit perkataan ‘refund’ kerana tidak berpuas hati selepas skuad Harimau Malaya yang berada di kedudukan ke-136 dunia terikat dengan China yang berada pada ranking ke-80.

Dalam pada itu, sesetengah daripada para penyokong turut kecewa dengan prestasi hambar skuad bimbingan Aleksandar Jankovic yang mendorong mereka meminta Persatuan Bola Sepak China (CFA) supaya memulangkan duit tiket.

BACA: Pan Gon Puji Semangat Kental Harimau Malaya Peroleh Keputusan Seri Dengan China

“Di Phoenix Hill Chengdu, apabila pengulas mengumumkan keputusan 1-1 perlawanan persahabatan antara China dan Malaysia, peminat mencemuh dan menjerit, ‘Bayar balik!’,” memetik kapsyen yang ditulis.

Sementara itu, China Sports Vision turut mendakwa bekas pemain legenda bola sepak China yang kini menjadi penolong jurulatih, Zheng Zhi memberi renungan yang tajam kepada penonton.

Dia turut berperang mulut dengan penonton yang berada di stadium selepas diherdik oleh mereka.

“Selepas keputusan seri 1-1 China dengan Malaysia di Chengdu Phoenix Hill Sports Park, Zheng Zhi, bekas pemain legenda China yang kini menjadi penolong jurulatih, bertelagah dengan peminat tempatan.

“Dia juga merenung dengan marah di tempat penonton,” katanya.

Untuk makluman, harga tiket yang dijual untuk aksi perlawanan tersebut mencecah hampir RM200 untuk seorang.

Semasa aksi tersebut, Malaysia mendahului pada minit ke-11 selepas Faisal Halim membuat rembatan tunggal negara sebelum Lin Liangming menyamakan kedudukan pada minit ke-36.

Keputusan 1-1 kekal hingga masa penamat, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam aksi persahabatan antarabangsa tahun ini.

Aksi persahabatan, Perlawanan Antarabangsa Tier 2 itu akan diteruskan dengan China berdepan Syria pada Selasa di tempat yang sama pada 7.35 malam.

Sumber: @CSV2050/X

The post Tak Puas Hati Keputusan Seri Dengan Malaysia, Penyokong China Minta “Refund” Duit Tiket appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*