Thaipusam ‘Sinar’ Rezeki Untuk Pereka Bentuk Kavadi

thaipusam sinar kavadi

Thaipusam ‘Sinar’ Rezeki Untuk Pereka Bentuk Kavadi

IPOH, 18 Jan (Bernama) — Menjelang sambutan Thaipusam 25 Jan ini, ketika ini adalah waktu paling sibuk bagi J. Lawrence Dev, 37, seorang pereka bentuk kavadi, bersama rakan-rakannya yang menggelarkan diri mereka The Kavadi Masters (TKM) Group, untuk menyiapkan kavadi yang ditempah.

Pemilik Maharaj Event Designer ini dan enam rakan rapatnya tidak menang tangan menyiapkan pelbagai bentuk kavadi mengikut permintaan pelanggan bagi sambutan keagamaan penganut Hindu itu.

Dengan keadaan COVID-19 semakin reda dan perarakan Thaipusam dibenarkan semula, ia jelas membawa sinar harapan bagi mereka memperoleh rezeki yang melimpah-ruah.

thaipusam sinar kavadi
Gambar: Bernama

“Walaupun saya ada perniagaan perkhidmatan untuk majlis perkahwinan, namun sambutan Thaipusam inilah yang paling dinanti, kerana membuat kavadi merupakan hobi saya dan saya boleh peroleh pendapatan tambahan dengan membuat kavadi yang ditempah pelanggan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di sini.

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata TKM Group aktif membuat kavadi sejak 20 tahun lepas dengan penyertaan hampir 40 pekerja dalam kumpulan itu.

Setiap tahun mereka akan menerima 12 hingga 15 tempahan, dan tahun ini sahaja 12 tempahan telah diterima termasuk sebuah chariot.

thaipusam sinar kavadi
Gambar: Bernama

Lawrence Dev berkata musim Thaipusam bermula selepas November setiap tahun, dengan tempoh dua minggu hingga sebulan diperlukan untuk menyiapkan sebuah kavadi, bergantung kepada reka bentuknya.

Harga minimum untuk satu kavadi adalah dalam lingkungan RM3,000 dan ia boleh mencecah sehingga RM30,000, tertakluk kepada bahan digunakan berdasarkan permintaan pelanggan seperti papan stirofoam, besi dan kayu.

Beliau berkata kebanyakan kavadi yang dihasilkannya daripada papan stirofoam kerana di Ipoh memang banyak permintaan menggunakan bahan itu berbanding di tempat lain, dan katanya kavadi paling berat pernah dihasilkan mencecah 60 kilogram.

Mula berminat menghasilkan kavadi sejak berusia 15 tahun, katanya beliau belajar membuat kavadi daripada seseorang yang digelar ‘sifu kavadi’ yang cukup kreatif.

BACA: Lebih 1.2 Juta Orang Dah Daftar PADU

Lawrence Dev berkata beliau pernah mengalami kerugian besar ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lepas, apabila perarakan tidak dibenarkan, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah kerugian yang dialami.

Gambar: Bernama

“Kita dah beli bahan, tetapi kami tidak dapat kepastian sama ada boleh sambut Thaipusam (perarakan), apabila saat akhir baru diberitahu tidak boleh (berarak),” katanya.

“Kini keadaan kembali pulih tetapi tidak begitu stabil lagi kerana kos bahan juga telah meningkat, tenaga kerja kurang, tetapi saya tidak mahu kata struggling, cuma boleh katakan keadaan sekarang semakin pulih, boleh bersaing seperti dahulu (sebelum PKP),” katanya.

Perayaan Thaipusam diadakan setiap tahun pada bulan Thai dalam kalendar Tamil, yang biasanya pada Januari atau Februari untuk menghormati Dewa Murugan.

Di beberapa tempat, perarakan itu sering kali melibatkan penganut yang membawa kavadi, iaitu struktur dekoratif yang dipikul oleh penganut sebagai tanda pengorbanan dan penghormatan kepada Dewa Murugan.

Penganut Hindu kebiasaannya membawa kavadi untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan, selain menjunjung Paal Kudam, iaitu tabung susu.

Sumber: BERNAMA

The post Thaipusam ‘Sinar’ Rezeki Untuk Pereka Bentuk Kavadi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*