Kabinet Setuju Pinda Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Kerakyatan Anak Lahir Di Luar Negara

anak ibu warganegara pasangan warga asing

Kabinet Setuju Pinda Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Kerakyatan Anak Lahir Di Luar Negara

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) — Jemaah Menteri semalam bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan negara ini.

Perkara itu dikongsikan dalam satu kenyataan bersama hari ini oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 itu dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen kali ini setelah memenuhi kehendak undang-undang.

Mereka berkata pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu melibatkan seksyen 1(1)(d) dan seksyen 1(1)(e) Bahagian I dalam Jadual Kedua serta Seksyen 1(b) dan Seksyen 1 (c) Bahagian II dalam jadual sama.

“Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan itu dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua menteri turut berkata perkara berkenaan sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia, selain mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul, dan menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka.

“Kesan daripada keputusan ini adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia, berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu turut menyebut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan KDN mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak.

BACA: Dr Amalina Perjelas Sunat Bayi Perempuan Di UK Adalah Dilarang, Ini Sebabnya

Sumber: BERNAMA

The post Kabinet Setuju Pinda Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Kerakyatan Anak Lahir Di Luar Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*