Tiada pempengaruh TikTok jadi pelontar suara UMBI

BANGI: Kementerian Pendidikan menegaskan integriti merupakan isu paling penting dalam penghasilan peperiksaan utama di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, untuk itu audio Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 sudah lama dibuat oleh pihak kementerian.

Justeru menurutnya, tidak seharusnya timbul isu integriti dakwaan menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara bagi audio UMBI.

“Kita sudah memberi penjelasan yang cukup jelas bahawa proses ini telah dilaksanakan lebih awal dan tidak timbul isu TikToker tersebut.

“Integriti menjadi isu yang penting, oleh itu, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan memastikan semua aspek keabsahan, kesahihan dan kredibiliti suara yang merekod,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan sempena hari pertama ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat di sini hari ini.

Semalam, Lembaga Peperiksaan menafikan dakwaan bahawa suara pempengaruh di aplikasi TikTok digunakan sebagai pelontar suara dalam audio UMBI bagi SPM 2022 pada 16 Februari lalu.

Sebaliknya katanya, pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen ujian tersebut adalah terdiri dalam kalangan guru, pensyarah atau penuntut universiti.

“Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen ujian SPM Tahun 2022,” tegasnya.

The post Tiada pempengaruh TikTok jadi pelontar suara UMBI appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*