Tiada perebutan jawatan tertinggi UMNO Kota Melaka

MELAKA: UMNO Bahagian Kota Melaka mencapai kata sepakat apabila semua jawatan tertinggi iaitu Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian termasuk Ketua dan Naib sayap Wanita, Pemuda dan Puteri tidak dipertandingkan pada pemilihan parti, 18 Mac ini.

Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, keputusan yang diambil untuk mengekalkan kesemua penyandang dibuat atas persetujuan semua ahli.

Menurutnya, hanya jawatan Ketua Pemuda Bahagian yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem dilepaskan kepada Naib Ketua Pemuda Bahagian, Mohd. Asyraf Zainal memandangan Mohd. Noor Helmy telah melepasi had umur ditetapkan.

“Kami bersepakat untuk mengekalkan semua jawatan tertinggi di peringkat bahagian termasuk sayap-sayap atas semangat keharmonian.

“Keputusan ini bukan bermakna kita menghalang demokrasi tetapi lebih kepada mahu mengekalkan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli akar umbi. Cuma yang akan ada pertandingan hanyalah di peringkat Ahli Jawatankuasa Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Sebagai Ketua Bahagian, saya berasa amat bersyukur atas keharmonian, kestabilan yang ditunjukkan oleh semua ahli atas kesepakatan yang diambil,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Melaka di Air Leleh di sini, hari ini.

Berikutan keputusan tersebut, Abdul Razak mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka buat penggal kedua diikuti Datuk Ibrahim Fadzil (Timbalan Ketua Bahagian), Datuk Abidullah Salleh (Naib Ketua Bahagian), Datuk Haryaty Hamzah (Ketua Wanita Bahagian), Mohd. Asyraf (Ketua Pemuda Bahagian) dan Nur Farhana Ab. Ghani (Ketua Puteri Bahagian).

Abdul Razak berkata, Mohd. Noor Helmy akan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian.

“Saya percaya tidak ada calon-calon lain yang akan menawarkan diri bagi jawatan tertinggi bahagian menjelang tarikh akhir bagi mengemukakan borang pencalonan pada 26 Februari ini,” jelasnya. – UTUSAN

The post Tiada perebutan jawatan tertinggi UMNO Kota Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*