Tiap Bulan Wajib Tolak, Ketahui Sebab Utama KWSP ‘Potong’ Gaji Anda Setiap Bulan

Sebab Utama KWSP 'Potong' Gaji

Tiap Bulan Wajib Tolak, Ketahui Sebab Utama KWSP ‘Potong’ Gaji Anda Setiap Bulan

Dalam era inflasi melanda seluruh dunia sekarang ini, kita sebagai rakyat yang bijak harus pandai mengawal perbelanjaan ekonomi terutamanya pada mereka yang sudah berkeluarga.

Bagi mereka yang baru mula memasuki alam pekerjaan pula pasti sudah tidak sabar untuk merasai nikmat gaji pertama yang bakal diperolehi setelah penat lelah bekerja untuk tempoh bulan yang pertama.

Tetapi pernah tak anda alami situasi sebegini, contoh syarikat menawarkan anda gaji sebanyak RM 2,500 sebulan tetapi bila cek baki dalam akaun sewaktu gaji, jumlah tersebut tidak sama seperti yang dijanjikan.

Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal

Jangan risau itu adalah potongan KWSP yang dibuat oleh syarikat kepada pekerja-pekerjanya. Tetapi apa pula KWSP? Kenapa perlu membuat potongan setiap bulan dan untuk apa potongan tersebut?

Mari kita ikuti perkongsian daripada YouTuber bernama Financial Faiz berkenaan kenapa KWSP tolak gaji anda setiap bulan seperti berikut:

Apa itu KWSP?

KWSP ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452).

KWSP menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai.

Secara amnya KWSP adalah simpanan untuk persaraan anda di kemudian hari. Simpanan ini terdiri daripada caruman bahagian pekerja dan majikan kemudian ditambah pula oleh dividen tahunan pada setiap tahun.

Buat semakan caruman di akaun KWSP

Setiap bulan selepas anda dapat gaji sebanyak 11% daripada gaji anda akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP penama. Selepas dapat slip gaji, pastikan anda semak potongan yang dibuat dan apa tujuan potongan tersebut dibuat.

Dalam slip gaji anda kebiasaannya akan ada dua item iaitu EPF pekerja dan EPF majikan. Gaji anda akan ditolak oleh EPF pekerja manakala EPF majikan akan dibayar oleh syarikat di mana tempat anda bekerja.

Potongan yang dibuat menerusi EPF pekerja adalah sebanyak 11% dan potongan EPF daripada majikan pula sebanyak 13%. Namun jika anda mahukan tambahan potongan dibuat menerusi gaji anda maka anda boleh jumpa dengan HR dan bincang tentang perkara tersebut.

Anda perlu mengisi borang KWSP 17A (AHL) untuk memaklumkan kepada KWSP yang anda mahu membuat pertambahan potongan gaji untuk dicarumkan ke dalam KWSP anda.

Peratusan potongan ini dibuat berdasarkan angka gaji anda sewaktu bekerja di syarikat berkenaan. Potongan 11% kepada pekerja dan 13% oleh majikan adalah untuk angka gaji bawah RM5,000.

Anda sebagai pekerja harus membuat semakan sama ada betul atau tidak potongan sebanyak 11% itu masuk ke dalam akaun KWSP anda. Anda boleh membuat semakan tersebut melalui i-Akaun.

Sebagai pekerja anda memang ada hak untuk dapatkan caruman KWSP. Jika syarikat anda bekerja tidak membuat caruman KWSP maka anda boleh membuat laporan di mana cawangan KWSP yang berdekatan.

Pastikan anda bawa dokumen-dokumen penting seperti slip gaji, surat tawaran bekerja atau surat pelantikan sebagai bukti syarikat tidak membuat sebarang caruman KWSP bagi anda.

Apa itu Akaun 1 dan Akaun 2?

Duit yang anda carumkan tadi akan dibahagikan kepada dua iaitu Akaun 1 dan Akaun 2. Sebanyak 70% daripada nilai caruman akan dimasukkan ke dalam akaun 1 dan 30% untuk akaun 2.

Syarat bagi pengeluaran KWSP Akaun 1 adalah selepas anda sudah bersara atau digunakan untuk pelaburan. Pengeluaran boleh dibuat selepas anda berusia 55 tahun dan sudah bersara dari syarikat anda bekerja.

Bagi syarat pengeluaran dalam Akaun 2 pula ialah anda boleh keluarkan duit yang ada dalam akaun tersebut bila anda sudah mencecah 50 tahun. Bagaimanapun, pengeluaran dalam akaun ini juga boleh dikeluarkan sebagai deposit untuk membeli rumah atau kurangkan baki hutang dengan mana-mana bank.

Selain itu, pengeluaran Akaun 2 juga boleh dibuat untuk menampung kos pendidikan untuk diri sendiri mahupun untuk anak-anak kepada anda yang sudah berkeluarga.

Pengeluaran Akaun 2 juga boleh dibuat untuk membayar kos perubatan yang tinggi sekiranya anda tidak mempunyai sebarang insuran takaful.

Yang terbaru, wang anda yang berada di dalam akaun 2 boleh dikeluarkan untuk anda menunaikan haji.

Berapa dividen caruman KWSP?

Melalui caruman KWSP juga anda akan diberi dividen pada setiap tahun. Dividen paling tinggi yang pernah diberikan oleh KWSP adalah pada tahun 2017 sebanyak 6.9%.

Mengikut akta KWSP 1991, anda dijaminkan dengan pemulangan dividen minimum sebanyak 2.5% pada setiap tahun. Sejak daripada lima ke 10 tahun lalu kita dapat lihat KWSP telah membuat pemulangan lebih daripada 2.5% seperti yang dijanjikan.

KWSP juga sudah perkenalkan skim Simpanan Shariah. Jadi kepada sesiapa yang was-was dengan sistem konvensional dan mahukan pelaburan duit berada dalam akaun mengikut syariah. Pindahan boleh dibuat tanpa ada sebarang paksaan.

Berapa nilai jumlah caruman apabila sudah bersara?

Berdasarkan KWSP punya jadual penyimpanan pada umur 55 tahun anda perlu mempunyai caruman minimum sebanyak RM 240,000.

Dalam tempoh sekarang memang kita dapat lihat bahawa jumlah tersebut banyak. Namun kena ingat, jangkaan hayat hidup bagi rakyat Malaysia adalah selama 76 tahun. Anda mempunyai tempoh 21 tahun, anda rasa cukup ke jumlah tersebut untuk menampung kos hidup anda terutama dalam tempoh inflasi global pada setiap tahun.

Takkan anda yang sudah berusia 55 tahun perlu mencari kerja lain untuk menampung kos hidup anda. Nak berharap pada anak-anak mereka pun ada kehidupan mereka sendiri dan ada yang sudah berkeluarga.

Jadi anda harus bijak mengawal kewangan anda selepas bersara agar tidak terjerumus dalam hutang dan seterusnya terpaksa menyusahkan orang lain.

Pesanan kepada pencarum

Pesanan yang dibuat oleh Faiz menerusi video tersebut adalah untuk rancang kewangan anda. Biar lah bersusah-susah sekarang, belanjalah mengikut kemampuan. Supaya selepas bersara anda boleh bersenang-senang di hari tua tanpa memikirkan masalah kewangan. Berbelanja ingat dunia, ingat selepas persaraan dan ingatlah akhirat.

Setakat itu sahaja perkongsian yang dibuat oleh beliau. Semoga dengan perkongsian ini akan memberi manfaat kepada pembaca yang masih was-was untuk mencarum di KWSP.

Sumber: Financial Faiz

The post Tiap Bulan Wajib Tolak, Ketahui Sebab Utama KWSP ‘Potong’ Gaji Anda Setiap Bulan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*