Tiga Beranak Maut, Kereta Dihempap Pokok

Tiga beranak kereta pokok

Tiga Beranak Maut, Kereta Dihempap Pokok

KOTA BHARU, 6 Ogos (Bernama) — Tiga beranak maut selepas kenderaan yang mereka naiki dihempap pokok dalam kejadian berdekatan Kampung Bukit Cina, Kok Lanas di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, dan Nik Amirah Ab Rahman, 40, serta anak bongsu mereka Nik Aishah Azzahra, 5, maut di tempat kejadian, manakala dua lagi anak pasangan itu Nik Adilia Zulaikha, 11, serta Nik Adam Zarif, 9, terselamat dan dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh Mohd Roslan Omar berkata pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu pada 8.06 malam.

“Kejadian membabitkan dua kenderaan iaitu Nissan Sentra dan Honda City dihempap pokok melibatkan 10 mangsa. Tiga mangsa tersepit di dalam kereta Nissan Sentra disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi selamat.

“Lima mangsa iaitu tiga lelaki dan dua wanita di dalam kereta Honda City juga selamat,” katanya.

BACA JUGA: Dua Cedera, Tiga Kenderaan Rosak Dihempap Pokok Tumbang

Sementara itu, adik ipar mangsa Muhammad Ridha Abdullah, 35, berkata Nik Amirah dan Nik Mohd Zulmi ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kok Lanas selepas selesai mengemas rumah ibu mereka di Ketereh.

“Pasangan tersebut mengambil keputusan untuk mengemas rumah ibu mereka iaitu Amnah Ismail, 64, yang berada di Kuala Lumpur dan dijangka pulang ke Kelantan hari ini.

“Selepas siap mengemas dan mengambil anak-anak mereka yang ke pesta buku di sebuah pasar raya di sini, mereka makan malam terlebih dahulu. Malang tidak berbau, ketika dalam perjalanan untuk pulang ke rumah kereta Nissan Sentra yang dinaiki mereka dari arah Machang ke Kota Bharu dihempap pokok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad Ridha berkata Nik Amirah bekerja di Jabatan Audit Negara, Tunjong manakala Nik Mohd Zulmi berkhidmat di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas.

Sumber: BERNAMA

The post Tiga Beranak Maut, Kereta Dihempap Pokok appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*