Tiga Lelaki Warga Bangladesh Ditahan Terlibat Insiden Kekecohan Di Kajang

tiga lelaki warga Bangladesh ditahan

Tiga Lelaki Warga Bangladesh Ditahan Terlibat Insiden Kekecohan Di Kajang

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) — Polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam insiden kekecohan di depan sebuah poliklinik swasta di Taman Prima Saujana di Kajang, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata ketiga-tiga suspek berumur antara 24 hingga 32 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Sentul dan Setapak di sini, kira-kira 1.15 pagi tadi selepas menerima laporan berhubung insiden itu daripada pemilik poliklinik berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan laporan pemilik poliklinik itu, kejadian terbabit melibatkan dua kumpulan disyaki warga Bangladesh yang hadir ke kliniknya kira-kira pukul 6 petang, Rabu lepas untuk pemeriksaan kesihatan.

“Kedua-dua kumpulan ini dibawa oleh dua ejen berlainan yang juga warga Bangladesh. Semasa kedua-dua kumpulan berada di depan poliklinik, telah berlaku pertengkaran antara mereka sehingga kedua-dua kumpulan membawa keluar beberapa batang kayu hoki.

“Keadaan menjadi semakin tegang sehingga berlaku tolak-menolak antara mereka dan seorang daripada suspek telah masuk ke dalam poliklinik itu sehingga menyebabkan staf poliklinik itu menjerit dan menghalau keluar kesemua warga asing dari situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Ada Mulut Rupanya, Baru Tahu Macam Mana Cara Siput Makan

Video insiden berkenaan turut dikongsi dalam media sosial menerusi aplikasi TikTok bertajuk “sekumpulan warga asing bawa kayu hoki serang wanita”.

Mohd Zaid berkata berdasarkan siasatan, kekecohan itu berpunca daripada perebutan pelanggan antara ejen untuk pemeriksaan kesihatan dan tiada kejadian kumpulan warga asing itu menyerang wanita seperti yang tular melalui media sosial.

Beliau berkata kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes itu dan telah dibawa ke Mahkamah Kajang serta direman selama empat hari mulai hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mohd Zaid turut menasihati orang awam supaya tidak terpengaruh dan menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam kerana jika didapati bersalah, tindakan undang-undang boleh dikenakan.

Sumber: BERNAMA

The post Tiga Lelaki Warga Bangladesh Ditahan Terlibat Insiden Kekecohan Di Kajang appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*