Trucha tak sabar latih Kelantan United

KOTA BHARU: Bekas pengendali Penang FC, Tomas Trucha mengakui sudah tidak sabar untuk melatih Kelantan United FC (Kelantan United) pada saingan Liga Super 2023 selepas diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu pasukan berkenaan malam tadi.

Trucha berkata, dia akan memulakan sesi latihan pertama Kelantan United pada 4 Januari depan bersama dengan corak taktikal yang bakal diterapkan nanti.

Menurutnya, ruang masa yang ada akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membentuk pasukan bagi mengharungi saingan Liga Super nanti.

“Bagaimanapun saya perlu mengenali barisan pemain dan melihat kualiti yang ada dalam pasukan terlebih dahulu. Selepas itu saya akan berbincang dengan pasukan teknikal untuk menetapkan taktikal pasukan.

“Berkenaan komunikasi, saya rasa tiada masalah kerana saya sudah dua tahun berada di Malaysia. Malahan beberapa pemain kelab ini pernah bersama saya sebelum ini dan mereka pasti faham apa yang saya mahukan dan kongsi dengan rakan sepasukan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Kelantan United di sini, semalam.

Pengendali dari Republik Czech itu turut memberitahu, dia gembira dan berterima kasih kepada pihak pengurusan kelab kerana memberikan peluang untuknya meneruskan khidmat di Malaysia.

“Kini saya tidak sabar untuk berkenalan dengan pemain, pengurusan dan pasukan teknikal Kelantan United.

“Kelantan United masih lagi sebuah pasukan baharu dalam Liga Super walaupun sudah berusia lima tahun dan perkembangannya akan menjadi cabaran menarik buat saya,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kelantan United, Rozi Muhamad memaklumkan, pasukan tersebut akan muncul dengan wajah baharu pada saingan Liga Super 2023 nanti apabila dibarisi oleh 90 peratus muka baharu termasuk barisan pemain import.

“Kebanyakan pemain yang kita bariskan berusia bawah 30 tahun dan sehingga kini boleh dikatakan urusan pendaftaran pemain sudah lebih 90 peratus selesai, termasuk pemain-pemain import.

“Barisan pemain dirahsiakan buat masa ini dan akan didedahkan dalam satu majlis pengenalan pemain secara rasmi dalam masa terdekat. Insya-Allah kita mampu buat kejutan pada musim depan,” katanya.

Rozi berkata, Kelantan United dianggap pasukan ‘underdog’ dan meletakkan sasaran secara lebih realistik dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Katanya, sasaran utama kelab buat masa ini adalah melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia dan dirasakan masih terlalu awal untuk menyasarkan kedudukan 10 teratas Liga Super.

“Kelantan United sudah merancang beberapa perlawanan persahabatan pra-musim termasuk menentang pasukan-pasukan dari luar negara. Perkembangannya boleh diikuti melalui media sosial rasmi pasukan dan kita harap penyokong hadir memenuhi stadium,” katanya. – UTUSAN

The post Trucha tak sabar latih Kelantan United appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*