Tujuh Ditahan Berhubung Insiden Gaduh Di Restoran Pandan Indah

gaduh restoran pandan indah

Tujuh Ditahan Berhubung Insiden Gaduh Di Restoran Pandan Indah

SHAH ALAM, 2 Ogos (Bernama) — Polis menahan tujuh lelaki berusia dalam lingkungan belasan tahun hingga 20-an, bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan yang berlaku di sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang dekat sini semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek terbabit, ditahan pada hari yang sama dan hasil siasatan mendapati, punca pergaduhan tersebut disebabkan oleh perselisihan faham melibatkan kumpulan motosikal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 30 saat, memaparkan pergaduhan membabitkan lebih daripada 10 orang lelaki yang berbalas pukulan, dan membaling kerusi kepada individu lain.

BACA JUGA: Polis Buru Individu Terlibat Pergaduhan Di Atas Jalan Raya

Sementara itu, mengulas berhubung mogok lapar yang memasuki hari ketiga di luar penjara Sungai Buloh, Hussein berkata seramai 44 ahli keluarga termasuk lapan kanak-kanak, masih berada di kawasan tersebut setakat 2 petang tadi.

“Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (2)(f) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan polis nasihatkan mereka yang terlibat supaya bersurai,” katanya.

Media melaporkan kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin lalu (31 Julai).

Dalam pada itu, Hussein berkata sebanyak 272 laporan diterima polis setakat ini sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dan daripada jumlah itu, tujuh kertas siasatan dibuka dengan kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sumber: BERNAMA

The post Tujuh Ditahan Berhubung Insiden Gaduh Di Restoran Pandan Indah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*