Ulang tahun ke-20, Blue jumpa peminat di KL

PETALING JAYA – Khabar baik buat peminat kumpulan British, Blue apabila mereka akan turun ke negara ini bagi menjayakan konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour pada 10 Februari depan.

Bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dua syarikat penganjur tempatan Hitman Solutions dan Happymoon sekali lagi berkolaborasi membawakan Blue buat peminat muzik era 2000.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, pemilihan Blue bersesuaian dengan sambutan ulang tahun mereka selain dapat bergembira dengan lagu popular bersama-sama.

“Kami dan Happymoon sangat teruja mengumumkan sebuah lagi konsert bakal dianjurkan dengan membawa ‘boy band British’ yang terkenal iaitu Blue dalam rangka jelajah mereka di serata dunia bagi meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan.

“Pada malam konsert, kami menjangkakan penonton akan bersama-sama menyanyikan lagu hit seperti All Rise, One Love, If You Come Back dan banyak lagi selain mengimbau kembali zaman percintaan pada zaman remaja,” katanya.

Pada masa sama, pengasas Happymoon, Kesavan Purosatman gembira dapat memberikan impak buat peminat di Malaysia setelah kejayaan penjualan tiket Konsert Ne-yo Live In Malaysia.

“Kerjasama antara Happymoon dan Hitman Solutions telah mewujudkan impak yang positif di hati penggemar muzik di Malaysia.

“Ini terbukti dengan hasil sambutan Ne-yo Live In Malaysia yang sangat memberangsangkan.

“Terdapat permintaan tinggi terhadap konsert dari pelbagai genre dan menjadi keutamaan buat kami untuk memenuhi permintaan peminat muzik,” ujarnya yang lebih mesra dipanggil KC.

Tambahnya, mereka memilih kumpulan penyanyi British itu khas buat peminat selain bersesuaian dengan jelajah ulang tahun ke-20 mereka.

“Blue adalah pilihan boy band yang tepat kerana mereka sedang meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan sejak awal tahun 2000.

“Tujuan mengadakan siri jelajah dunia Blue iaitu Heart & Soul Tour adalah untuk menghargai sokongan peminat yang menjadi tulang belakang mereka dari dulu hingga sekarang,” tuturnya.

Penjualan tiket telah mula dijual pada 4 Januari lalu menerusi laman sesawang rasmi www.hitmanlive.com.

Peminat boleh memilih lima kategori tiket untuk menyaksikan persembahan Blue iaitu VVIP dengan ‘Meet and Great’ (RM688), VIP (RM488), Diamond (RM358), Platinum (RM258) dan Gold (RM188). -KOSMO! ONLINE

The post Ulang tahun ke-20, Blue jumpa peminat di KL appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*