Wanita Maut Ditetak Lelaki

wanita ditetak lelaki

Wanita Maut Ditetak Lelaki

BUTTERWORTH, (Bernama) — Seorang wanita meninggal dunia selepas diserang dan ditetak dengan sebilah parang oleh seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Raja Uda, Butterworth di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Asri Shafie berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 11.10 pagi iaitu seorang lelaki tempatan telah menetak seorang wanita di bahagian leher sehingga mengalami kecederaan parah.

“Mangsa yang berusia 42 tahun telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan disahkan meninggal dunia pada 11.58 pagi ketika menerima rawatan di hospital, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian belakang leher dan bahu kiri wanita tersebut.

“Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik HSJ untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya pasukan polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan terdapat rakaman kamera litar tertutup di kawasan tersebut yang merakam kejadian itu serta terdapat juga saksi yang melihat insiden berkenaan.

“Pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat ASP Nasrina Darus di talian 04 – 576 2222 (sambungan 2275) bagi membantu siasatan,” katanya.

BACA: Wanita Maut Ditikam Beberapa Kali Di Klang 

Mohd Asri berkata suspek iaitu lelaki tempatan berusia 29 tahun itu telah berjaya ditahan polis selepas dia terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang ketika melarikan diri selepas melakukan jenayah tersebut.

Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.23 pagi memaklumkan ada individu terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Katanya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerahkan ke lokasi dan sejurus tiba pihaknya menemukan sebuah motosikal jenis SYM dipercayai milik suspek ditinggalkan di bahu jalan di jambatan berkenaan.

Bagaimanapun, semakan mendapati lelaki itu telah diselamatkan oleh nelayan yang melalui kawasan terbabit sebelum kes diserahkan kepada pihak polis.

Dalam pada itu, satu rakaman video turut tular di media sosial menunjukkan lelaki terbabit cuba terjun sekali lagi dari bot nelayan biarpun dia telah diselamatkan ketika mereka dalam perjalanan menghala ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.

Sumber: BERNAMA

The post Wanita Maut Ditetak Lelaki appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*