Youtuber Terkenal Arab Saudi, Al Qazm Meninggal Dunia

Youtuber Terkenal Arab Saudi, Al Qazm Meninggal Dunia

Seorang Youtuber terkenal di Arab Saudi, Aziz Al Ahmad telah meninggal dunia di usia 27 tahun pada Khamis, menurut laporan media tempatan.

Gulf News melaporkan, Al Ahmad lebih dikenali dengan nama panggilannya “Al Qazm” yang bermaksud kerdil dalam bahasa Arab.

Rata-rata peminat Al Ahmad yang sedih dengan berita pemergiannya itu telah bertindak membanjiri akaun media sosialnya dengan mengucapkan takziah.

Al Ahmad yang dilahirkan di Riyadh pada 1995 itu menghidap penyakit genetik dan gangguan hormon yang menyebabkan masalah tumbesaran, lapor Gulf News.

Rakaman dari hospital yang dikongsi secara meluas di media sosial itu menunjukkan Al Ahmad sedang terbaring di katil hospital dan hampir tidak bergerak apabila seorang wanita memintanya menyampaikan pesanan kepada peminatnya.

“Saya ingin memberitahu mereka bahawa saya sangat menyayangi mereka” kata Al Ahmad.

Al Ahmad juga turut mengatakan bahawa dia berada dalam keadaan sihat apabila ditanya tentang kesihatannya pada waktu itu, lapor Gulf News.

Youtuber tersebut popular dengan video-video komedinya sehingga berjaya mengumpulkan ratusan ribu pengikut di platform media sosial dan memperoleh jutaan tontonan.

Malah, akaun TikTok miliknya sahaja mempunyai lebih daripada 9.4 juta pengikut dan 83.1 juta tanda suka, manakala saluran YouTube miliknya pula mempunyai lebih daripada 887,000 subscribers.

Selain itu juga, Al Ahmad sangat popular di laman Snapchat di mana akaunnya mempunyai lebih daripada 2.7 juta subscribers.

Difahamkan bahawa bintang media sosial ini memperoleh sejumlah wang yang banyak disebabkan oleh jumlah tontonan videonya yang tinggi di pelbagai platform media sosial seperti Snapchat, TikTok, Facebook dan Instagram walaupun butiran khusus mengenai kekayaannya tidak dimaklumkan.

Video yang memaparkan Aziz Al Ahmad dan rakannya Yazan Al Asmar, secara konsisten menjadi ikutan pengguna media sosial.

Sumber: Gulf News

The post Youtuber Terkenal Arab Saudi, Al Qazm Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*