1 Daripada 5 Video Hiburan Kanak-kanak Ada Iklan Tak Sesuai Dengan Umur – Kajian

1 Daripada 5 Video Hiburan Kanak-kanak Ada Iklan Tak Sesuai Dengan Umur – Kajian

Hari ini, tidak dapat dinafikan anak-anak sejak kecil sudah menjadi pengguna atau pelayar tegar sesetengah platform perkongsian video.

Walaupun laman tersebut direka untuk kegunaan orang dewasa, namun ramai ibu bapa alpa atau tak kisah anak-anak juga turut terdedah.

Ya, memang benar ada kandungan khas yang disediakan untuk kanak-kanak, namun tidaklah sebanyak kandungan yang dihasilkan khusus untuk pengguna dewasa. Oleh itu, risiko untuk mereka terdedah kepada kandungan tak sepatutnya tetap ada.

Satu daripada lima kandungan hiburan kanak-kanak ada iklan tidak sesuai dengan usia

Menurut kajian yang dijalankan Common Sense Media’s 2020 mendapati 95% video yang dihasilkan untuk kanak-kanak berusia 8 tahun dan ke bawah di sebuah platform perkongsian video kebanyakkan mengandungi iklan produk-produk.

Manakala daripada jumlah tersebut, setiap satu daripada lima video hiburan kanak-kanak tersebut mengandungi iklan yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Common Sense Media’s 2020 mendapati, iklan-iklan itu sebaliknya mempromosikan produk-produk yang menyasarkan pengguna dewasa.

Contoh-contoh iklan yang ditemui adalah mempromosikan produk seperti minuman beralkohol, pakaian dalam dewasa serta permainan video yang mengandungi unsur-unsur ganas.

Lebih membimbangkan, Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) dalam satu tinjauan pada 2022 mendapati, lebih 100,000 pengguna internet yang terdiri daripada kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun di Malaysia terdedah kepada eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian (OCSEA).

Maka wajarlah saranan yang dibuat agar ibu bapa tidak lepas tangan atau membiarkan anak tanpa pengawasan ketika mereka menggunakan gajet dan melayan kandungan-kandungan atas talian, walaupun dihasilkan khas untuk mereka.

Disini, ada beberapa perkara yang ibu bapa perlu ambil berat dan buat supaya dapat mengurangkan risiko anak-anak terdedah kepada kandungan tidak sepatutnya.

Buka ruang selamat untuk berkomunikasi dengan anak-anak

Perkara paling utama ibu bapa perlu buat adalah biasakan diri berkomunikasi dengan anak-anak. Sentiasa berbincang dengan tentang aktiviti mereka ketika melayari internet.

Biar anak-anak berkongsi dan beritahu maklumat apa yang mereka temui ketika melayari internet. Sekiranya ada yang tidak kena, ibu bapa perlu menggunakan peluang ini untuk berkongsi baik dan buruk sesuatu kandungan yang mereka layari.

Tetapkan batasan, apa yang boleh dan tidak boleh dengan jelas

Amatlah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab sekiranya ibu bapa membiarkan anak-anak bersendirian melayari internet tanpa kawalan orang dewasa.

Oleh itu, sebelum membenarkan anak-anak mengakses kandungan atas talian, ibu bapa perlu memberi penerangan yang jelas tentang batas-batas yang tidak boleh dilanggar, apa yang boleh dan tidak boleh.

Malah, had masa untuk mereka berdamping dengan gajet juga perlu ditetapkan. Ajar anak-anak untuk bersosial dan berinteraksi dengan manusia atau alam, bukan 24 jam dengan tablet atau telefon pintar semata-mata.

Bagaimanapun, peraturan yang dibuat perlulah anjal dan boleh diubah, seiring dengan perkembangan usia anak-anak.

Didik anak-anak tentang tanggungjawab di alam maya

Anak-anak perlu dididik cara-cara untuk menjadi warga komuniti yang bertanggungjawab, tidak kira ketika berada di dunia nyata ataupun di alam maya.

Seperti di dunia sebenar, anak-anak perlu diberitahu tentang bahaya berkongsi maklumat atau gambar-gambar peribadi di alam maya.

Beritahu mereka, apa yang mereka buat atau mereka tulis di alam maya, boleh memberi kesan kepada pengguna lain. Tanam dalam jiwa mereka tentang sifat empati ketika berinteraksi dan cara untuk menghormati hak-hak warga maya yang lain.

Latih mereka cara-cara untuk menilai sesuatu kandungan yang ada di alam maya

Menjadi skeptikal dan berfikiran kritikal di alam maya mungkin adalah perkara yang baik untuk anak-anak.

Seperti yang kita semua sedia maklum, tidak semua maklumat atau kandungan yang ada di alam maya itu benar, baik dan bermanfaat.

Jadi, wajarlah anak-anak diterapkan dengan kemahiran untuk menilai atau menganalisis maklumat yang diperolehi, supaya mereka dapat membezakan yang mana yang adil dan yang mana yang berat sebelah.

Anak-anak perlu diingatkan agar tidak terburu-buru menyebarkan sebarang maklumat yang ditemui di alam maya. Ajar mereka cara-cara untuk mengenal pasti sumber maklumat, yang mana yang boleh dipercayai dan yang perlu diragui.

4 perkara di atas hanyalah sebahagian kecil langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa.

Sebagai orang dewasa, kita perlu sedar banyak perkara yang perlu dibuat kerana hari ini maklumat berada di hujung jari, boleh diakses pada bila-bila masa dan oleh sesiapa sahaja.

Peranan CMCF mendidik masyarakat menjadi warga maya yang bertanggungjawab

Untuk pengetahuan semua, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) turut memainkan peranan untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya alam maya.

Jika fokus ibu bapa kepada anak masing-masing, fokus CMCF pula adalah kepada pelajar di sekolah dan pelajar universiti tentang kawalan kendiri ketika berada di alam maya.

Antara pendekatan-pendekatan yang dibuat oleh CMCF adalah menganjurkan bengkel dan ceramah tentang kawalan kendiri dan literasi digital seperti yang telah tersedia dalam Kod Kandungan.

Selain itu, CMCF turut menjalinkan kerjasama dengan guru dan ibu bapa melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Tujuan kerjasama ini adalah untuk melatih dan berkongsi cara mendidik pelajar dan anak-anak bagaimana mahu menjadi warga maya yang bertanggungjawab.

Paduan tenaga dan usaha semua pihak adalah kunci utama

Kesimpulan, untuk menghalang kandungan-kandungan yang memudaratkan daripada berada dalam capaian generasi muda, ia memerlukan semua pihak berganding bahu menjalankan peranan masing-masing.

Bermula daripada ibu bapa dirumah, warga pendidik di sekolah dan institut pengajian tinggi serta peranan berterusan yang dimainkan oleh CMCF.

Ibu bapa boleh melayari laman web, Facebook, TikTok dan Instagram CMCF untuk maklumat lanjut, mendapatkan tip-tip dan panduan ketika berada di alam maya.

The post 1 Daripada 5 Video Hiburan Kanak-kanak Ada Iklan Tak Sesuai Dengan Umur – Kajian appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*